Crescendo catat untung bersih RM21.6 juta 4QFY24, kos bahan binaan cabaran utama | DagangNews Skip to main content

Crescendo catat untung bersih RM21.6 juta 4QFY24, kos bahan binaan cabaran utama

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Mac - Crescendo Corporation catat untung bersih RM21.6 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24), berbanding kerugian RM3.83 juta pada suku sama setahun sebelumnya.

 

Syarikat pembinaan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM120.1 juta dalam suku berkenaan, lonjakan berbanding RM39.3 juta pada suku keempat FY23.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Crescendo melaporkan untung bersih RM57.42 juta bagi FY24, peningkatan lebih 100% berbanding FY 23 (RM25.87 juta).

 

Tempoh FY24 juga menyaksikan hasil Crescendo meningkat kepada RM341.3 juta daripada RM215.7 juta setahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Crescendo berkata, pasaran hartanah akan kekal mencabar dalam jangka pendek dan sederhana disebabkan peningkatan kos bahan pembinaan.

 

Katanya, turun naik dalam kos bahan binaan susulan penyusutan nilai mata wang dan tekanan inflasi.

 

Namun begitu, kata Crescendo, Belanjawan 2024 dijangka memberi impak positif kepada sektor hartanah berikutan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah.

 

"Pelaburan langsung asing ke Johor kekal tinggi, permintaan untuk hartanah perindustrian juga kukuh dan dijangka berkembang pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Katanya, melainkan terdapat isu geopolitik utama, Lembaga Pengarah  positif dan yakin terhadap prospek pembangunan hartanah baharu yang akan datang. 

 

"Lembaga Pengarah juga menjangkakan Kumpulan akan menunjukkan prestasi yang baik pada FY2025 sebagai jualan tanah dalam Taman Perindustrian Nusa Cemelang (NCIP) berjumlah RM545 juta akan menghasilkan anggaran keuntungan selepas cukai kira-kira RM310 juta selepas siap pada FY2025," jelasnya. - DagangNews.com