Crest Group cadang tawar IPO sebanyak 234.6 juta saham di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Crest Group cadang tawar IPO sebanyak 234.6 juta saham di Pasaran ACE Bursa Malaysia

[Foto FB Crest Group]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Crest Group Bhd mencadangkan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 234.6 juta saham di Pasaran ACE Bursa Malaysia sebagai usahanya mengumpul dana untuk menubuhkan ibu pejabat baharu.

 

Menurut pendedahan prospektus penyedia rumusan pengimejan, analisis dan ujian itu, IPO tersebut merangkumi terbitan awam sebanyak 130.7 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 103.9 juta saham sedia ada.

 

Daripada saham baharu itu, 43.28 juta akan diperuntukkan untuk orang awam Malaysia, 12.98 juta untuk pengarah dan pekerja berkelayakan dan baki 74.4 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Sementara itu, daripada saham sedia ada, 33.8 juta adalah untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 70.1 juta untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Crest Group berkhidmat dalam pelbagai industri, termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), akademik, automotif, minyak dan gas, penerbangan, sains hayat dan penjagaan kesihatan, dengan pemeriksaan kualiti, analisis sampel dan penyelesaian penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil IPO tersebut untuk menubuhkan ibu pejabat baharu di Selangor untuk menggabungkan operasinya di wilayah tengah Malaysia, serta membeli peralatan pengimejan termaju baharu dan peralatan pengurusan sampel untuk bilik demonstrasinya di Malaysia, China dan Thailand.

 

Crest Group turut berhasrat untuk mengembangkan kehadirannya di luar negara di Vietnam dan mengembangkan perniagaannya di China dan Thailand, serta meningkatkan segmen perkhidmatan selepas jualannya, dengan mengambil lebih ramai kakitangan untuk mengendali perkhidmatan sokongan teknikal dan penyelenggaraan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan itu mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM10.6 juta, menurun daripada RM11.7 juta pada FY21.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk membayar dividen tidak kurang 30% daripada PAT tahunannya, tertakluk kepada prestasi kewangan, aliran tunai dan keperluan modalnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Crest Group, Lee Siew Weng memegang 33.8% daripada modal saham kumpulan itu, manakala dua Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Au Chun Mun dan Yap Kian Meng memegang 32.7% setiap seorang

 

Selepas IPO, kepentingan mereka dianggap akan dicairkan kepada 6% untuk Lee, dan 5.7% setiap satu untuk Au dan Yap.

 

MIDF Amanah Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com