Crest Group sasar kumpul RM45.75 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Crest Group sasar kumpul RM45.75 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Crest Group Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM45.75 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO yang ditawarkan berharga 35 sen sesaham, dan penyenaraian dijadualkan pada 9 Oktober 2024.

 

Dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 865,598,000 saham, anggaran permodalan pasaran syarikat semasa penyenaraian adalah kira-kira RM302.96 juta.

 

Saham IPO telah diklasifikasikan sebagai patuh syariah, dan syarikat menyasarkan nisbah pembayaran dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan tahunannya selepas cukai yang diagihkan kepada pemegang saham.

 

Pengarah Urusan Crest Group, Lim Siong Wai berkata, pihkanya memperuntukkan RM14.52 juta, atau 31.73% daripada hasil IPO untuk mengembangkan kehadiran mereka ke pasaran utama termasuk membuka pejabat di Ho Chi Minh City, Vietnam, Chengdu dan Shenzhen, China.

 

Beliau berkata, pihaknya berhasrat mengukuhkan kehadiran menerusi pengembangan ke Vietnam dan China.

 

"Kami sedang aktif mengenal pasti ruang pejabat yang sesuai dan secara beransur-ansur akan mula mengambil kakitangan baharu. 

 

"Kumpulan akan menambah kakitangan jualan baharu untuk pejabat di Vietnam dan China, serta di pejabat sedia ada di Thailand," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Siong Wai berkata, kumpulan itu juga akan membelanjakan kira-kira RM3.6 juta untuk mengembangkan pasukan sokongan teknikal dan penyelenggaraan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

 

Pihaknya juga akan memperuntukkan baki RM5.87 juta lagi untuk pembelian peralatan demonstrasi tambahan dan RM15.76 juta untuk ibu pejabat berpusat baharu.

 

Ditubuhkan pada 1999, Crest pada mulanya menumpukan pada membekalkan peralatan pemeriksaan dan kawalan kualiti kepada industri semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E).

 

Selama bertahun-tahun, syarikat telah mengembangkan tawarannya untuk memasukkan rumusan pengimejan, analisis dan ujian yang komprehensif dan dengan jangkauan industri yang lebih luas merangkumi bidang sains hayat, penjagaan kesihatan, penyelidikan, akademik, automotif, penerbangan dan minyak dan gas.

 

Perkhidmatannya terdiri daripada khidmat rundingan pra-jualan, penyesuaian, pemasangan, pentauliahan dan latihan pengguna kepada sokongan selepas jualan yang komprehensif.

 

Bahagian terbitan awam IPO kini dibuka untuk langganan, dengan permohonan ditutup pada 25 September 2024 pada pukul 5 petang.

 

MIDF Amanah Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com