Critical Holdings sasar jana RM26 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Critical Holdings sasar jana RM26 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Ir. Tan Si Lim (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment, Datuk Dominic Silva (dua dari kiri); Pengerusi Critical Holdings, Mohamad Hashim Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Critical Holdings, Ir. Chow Chin Seang (kanan) semasa pelancaran prospektus IPO hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Critical Holdings Berhad menyasarkan untuk menjana RM26 juta daripada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Disember 2023 dengan tawaran pada harga 35 sen sesaham.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Si Lim berkata, dana yang diraih itu akan digunakan untuk membeli pejabat wilayah baharu di Semenanjung Malaysia bagi memudahkan langkah pengembangannya di wilayah tengah dan selatan pada masa depan serta memperluas pasukan jualan dan teknikal.

 

Beliau berkata, sejumlah RM9.9 juta (38.1%) daripada hasil IPO itu akan disalurkan kepada modal kerja dan RM6 juta (23%) bagi pejabat wilayah baharu, manakala RM4.5 juta (17.3 peratus) untuk memperluas pasukan jualan dan teknikal.

 

“Lebihan RM4 juta (15.4%) adalah bagi perbelanjaan penyenaraian dan RM1.6 juta (6.2%) bagi perbelanjaan modal,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM130.1 juta berdasarkan harga terbitan pada 35 sen sesaham dan modal saham terbitan diperbesar berjumlah 371.74 juta saham.

 

IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 74,348,000 saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk penjualan 37,173,900 saham biasa sedia ada syarikat. 

 

Daripada 74,348,000 saham terbitan, 18,587,000 akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian manakala 3,717,400 diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak.

 

Sejumlah 46,467 akan diterbitkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan baki 5,576,200 diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Si Lim berkata, kumpulan menyasarkan dividen tahunan sehingga 25% daripada keuntungan selepas cukai sebagai ganjaran kepada pemegang sahamnya.

 

Kumpulan itu menawarkan rumusan kejuruteraan mekanikal, elektrik dan utiliti proses (MEP) serta penyelenggaraan dan perkhidmatan MEP bagi kemudahan kritikal seperti bilik loji, bilik bersih dan pusat data.

 

Permohonan bagi IPO berkenaan akan tersedia mulai hari ini dan ditutup pada 5 petang, 5 Disember 2023.- DagangNews.com