KUALA LUMPUR 22 Mac - CSH Alliance Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Alliance EV Sdn. Bhd. (AEV) dan BYD Malaysia Sdn. Bhd. (BYD) akan bekerjasama dalam perniagaan pengedaran kenderaan elektrik (EV) dan penyelenggaran selain meneroka peluang untuk pemasangan tempatan.
Menerusi jalinan kerjasama itu juga, CSH Alliance berhasrat untuk membawa perubahan kepada industri logistik dengan membantu pemain industri menggunakan kenderaan elektrik dengan pelepasan sifar karbon dalam usaha untuk maju.
BYD yang merupakan sebahagian daripada BYD Company Limited adalah peneraju dalam empat industri (elektronik, kereta, tenaga baharu dan rel transit) selain perintis dalam mencapai pelepasan karbon sifar dalam ekosistem tenaga tenaga suria mampu milik, simpanan tenaga yang boleh dipercayai dan pengangkutan elektrik.
Menerusi kerjasama ini, AEV akan mengedarkan Model T3 BYD yang merupakan kenderaan elektrik tulen dengan penggunaan tenaga yang rendah berprestasi tinggi yang didatangkan bersama perkhidmatan selepas jualan, alat ganti dan pakej waranti.
Pengarah Eksekuti CSH Alliance, Peter Yap berkata, antara pelanggan untuk EV berkenaan adalah Line Clear Express & Logistics Sdn. Bhd. (syarikat logistik dan kurier di mana CSH memiliki 15% kepentingan ekuiti) dan ia akan digunakan di kawasan metropolitan seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, Deloitte menjangkakan pasaran global EV akan mencatatkan pertumbuhan pada kadar 29% setahun untuk 10 tahun akan datang dengan jualan EV akan berkembang kepada 11.2 juta pada 2025 dan mencecah 31.1 juta menjelang 2030.
Katanya, EV juga dijangka akan menguasai sekitar 32% jumlah pasaran untuk jualan kenderaan dalam tempoh tersebut.
"Masa hadapan akan berkembang dengan pesat dan industri logistik adalah pasaran yang sangat berpotensi.
"Van dan trak hanya membentuk 1% daripada jumlah jualan EV di dunia dan banyak syarikat logistik terkemuka telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menjadi sifar karbon berhubung dengan kenderaan elektrik," katanya dalam satu malmuman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Selain itu, CSH Alliance juga merancang untuk menyediakan stesen pengecasan, kepelbagaian tenaga kepada perniagaan panel solar dan alat ganti selain membina ekosistem bagi menjayakan perniagaan EV itu. - DagangNews.com