CSO mainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam fasa pemulihan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

CSO mainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam fasa pemulihan COVID-19

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 NOV - Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) memainkan peranan penting dalam fasa pemulihan COVID-19 khususnya menerusi pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 dalam memperkasakan masyarakat.

 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerjasama kerajaan dengan CSO adalah amat penting, khususnya dalam memastikan semua individu di bawah kendalian mereka mendapat sokongan yang diperlukan.

 

“CSO dan perusahaan sosial adalah pihak berkepentingan utama dalam usaha memulihkan negara kerana kedua-duanya mempunyai akses lebih baik ke atas kelompok masyarakat.

 

“Ringkasnya, pertubuhan sivil ini adalah rakan pembangunan utama bagi kerajaan,” katanya ketika berucap di Forum Hasanah 2021, hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, pertubuhan sivil yang sering dikenali sebagai 'sektor ketiga' memainkan peranan penting sejak bermulanya pandemik COVID-19.

 

Kerajaan telah mewujudkan Geran Khas Hasanah (HSG) yang menjadi sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan matlamat menyokong program yang dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan daya tahan sosioekonomi golongan B40, termasuk kanak-kanak, pelarian, Orang Asli, warga emas dan gelandangan.

 

“Ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan CSO dalam bidang pendidikan, menyokong aspek mata pencarian atau sumber pendapatan dan menyalurkan bantuan makanan secara langsung, terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Di bawah kerjasama ini, HSG setakat ini telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta dalam dua fasa.

 

“Sebanyak 110 projek telah berjaya dilaksanakan pada fasa pertama dan ada di antara projek tersebut telah disenaraikan untuk diperluaskan supaya lebih banyak manfaat dapai dikongsi dengan komuniti,” katanya.

 

Menurut Tengku Zafrul sebanyak 110 projek terbabit itu merangkumi 140,000 penerima manfaat, sebahagian besarnya daripada komuniti mudah terjejas dan kira-kira 400 haiwan terancam bagi tujuan dijaga dan dipelihara.

 

Berikutan itu, katanya, kerajaan berharap untuk meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan CSO bagi memanfaatkan kepakaran serta jangkauan pertubuhan itu.

 

Beliau berkata, sebagai mengiktiraf peranan penting CSO, pada tahun depan sejumlah RM100 juta akan disalurkan dalam bentuk geran padanan dengan yayasan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi usaha membabitkan bidang utama yang digariskan dalam Bajet 2022.

 

Ini termasuk memperkukuh aspek kesihatan mental dan perkhidmatan sokongan sosial, pendidikan selepas persekolahan, penjanaan pendapatan untuk golongan mudah terjejas, dan memulihara warisan seni dan budaya.

 

Tengku Zafrul berkata, dalam usaha memupuk ekosistem pengumpulan dana yang mampan dan pesat berkembang, Bajet 2022 turut menyediakan insentif dalam bentuk pengecualian cukai bagi pendapatan perusahaan sosial sehingga tiga tahun taksiran yang tertakluk kepada Akreditasi Perusahaan Sosial daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Menurutnya, langkah itu akan menyokong perusahaan sosial untuk mampan secara kewangan dalam misi mewujudkan impak sosial atau alam sekitar yang positif.

 

“Kita juga bekerjasama dengan Yayasan Keluarga Malaysia untuk menyediakan serta melindungi aspek kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat COVID-19," katanya.-Dagangnews.com