CTOS Digital tambah pegangan dalam BOL kepada 24.82% | DagangNews Skip to main content

CTOS Digital tambah pegangan dalam BOL kepada 24.82%

KUALA LUMPUR 9 Mac - CTOS Digital Bhd. meningkatkan pegangan bersekutunya dalam Business Online Public Company Limited (BOL) yang berpangkalan di Thailand kepada 24.825% daripada 22.65% sebelum ini.

 

Langkah itu bagi mengukuhkan kehadirannya di Thailand sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan serantau kumpulan.

 

Ia menyaksikan pengambilalihan 17.8 juta saham meenrusi transaksi perniagaan secara langsung dalam bursa saham Thailand, mewaliki 2.175% kepentingan ekuiti dalam BOL melibatkan pertimbangan pembelian bernilai 205.2 juta baht (RM26.2 juta).

 

Pemerolehan itu akan dibiayai menerusi hasil daripada langkah penempatan persendirian yang diselesaikan baru-baru ini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Eric Hamburger berkata, peningkatan pelaburan dalam BOL itu diharapkan dapat merealisasikan potensi sinergi antara kedua-dua produk dan pangkalan pelanggan pada masa hadapan.

 

Katanya, BOL merupakan syarikat biro maklumat terbesar di Thailand dengan 59% penguasaan pasaran dari segi hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 menurut IDC. 

 

"BOL juga mempunyai pangkalan data maklumat perniagaan yang luas dalam talian merangkumi lebih 1.6 juta perniagaan tempatan termasuk institusi kewangan, korporat, perusahaan kecil dan sederhana serta agensi kerajaan Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Peningkatan dalam pegangan saham berlaku selepas pemerolehan awal sebanyak 2.650% pegangan pada Ogos 2021, serta pemerolehan 20% pegangan awal kumpulan pada Oktober 2020.

 

Pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan 21 Februari lalu, pemegang saham CTOS Digital telah meluluskan tambahan pengambilalihan sehingga 2.25% ekuiti melibatkan pertimbangan tunai sehingga 15 baht bagi setiap saham biasa dalam BOL. - DagangNews.com