CTOS Digital terima peningkatan permintaan semakan maklumat kredit kesan daripada pemulihan ekonomi - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

CTOS Digital terima peningkatan permintaan semakan maklumat kredit kesan daripada pemulihan ekonomi - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Kenanga Research menjangkakan CTOS Digital Berhad akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk semakan maklumat kredit dan keupayaan analisis.

 

Firma itu berkata, permintaan untuk perkhidmatan itu akan terus meningkat kesan daripada pemulihan sektor ekonomi dan keperluan pinjaman.

 

Katanya, pengambilalihan RAM Holdings, Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) dan Business Online Public Company Ltd. (BOL) juga membantu mereka untuk berkembang secara bukan organik selain kekal di dalam perniagaan utamanya.

 

"Integrasi berterusan JurisTech dalam kumpulan itu akan membantu mereka mewujudkan penyelesaian pinjaman digital," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan, pendapatan CTOS Digital akan menjadi lebih progresif pada suku tahun akan datang didorong oleh pertumbuhan organik dan bukan organik dalam bahagian penyelesaian maklumat dan analisis kreditnya.

 

Katanya, keuntungan kumpulan itu meningkat 62.3% kepada RM12.48 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM7.69 juta pada tahun lalu hasil daripada peningkatan prestasi dalam semua segmen perniagaan.

 

Pendapatan kumpulan itu pada suku yang sama juga meningkat 12.4% kepada RM42.7% kepada RM88 juta dengan keuntungan daripada syarikat bersekutu meningkat 45.8% kepada RM2.4 juta disumbangkan oleh JurisTech dan keuntungan lebih tinggi daripada BOL. 

 

Firma itu menyemak naik penarafan CTOS Digital kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.00 berbanding RM1.85

 

"Kami percaya keadaan itu akan memberikan peluang kepada pelabur untuk mencari pilihan yang menawarkan potensi pertumbuhan tinggi," katanya. - DagangNews.com