KUALA LUMPUR 25 Jan - CTOS Digital Berhad menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Cacat dan Kurang Upaya Taman Connaught bagi menyemarakkan semangat perayaan Tahun Baru Cina kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
Pengurus Besar Pemasaran, Perhubungan Pelabur, PR dan Komunikasi Korporat CTOS Digital, Norine Majaman berkata, sumbangan tersebut termasuk keperluan asas bernilai RM5,000 diberikan kepada mereka.
Beliau berkata, setelah beberapa tahun menjalankan pelbagai program capaian untuk membantu warga umum, CTOS telah mengembangkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada warga emas.
“Adalah sangat penting untuk kita berkongsi dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan kami berbesar hati kerana dapat meluangkan masa dengan penghuni rumah kebajikan berkenaan.
“Saya berharap sumbangan kami ini dapat membawa perubahan yang positif dalam kehidupan para penghuni," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kunjungan itu, kumpulan CTOS membawa keperluan asas seperti tilam gantian, kerusi, susu dan keperluan lain ke kediaman tersebut.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Cacat dan Kurang Upaya Taman Connaught, Lee Cen Foong pula berkata, pertubuhan itu khusus untuk penjagaan dan kebajikan warga emas yang terpinggir, terbiar, tidak dapat bergerak atau menderita akibat penyakit seperti Alzheimer.
Katanya, sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan dan bukan berasaskan keuntungan, pihaknya sangat bergantung kepada sumbangan seperti sumbangan daripada CTOS.
"Kami mungkin tidak dapat mengubah masa silam mereka, namun kami tidak akan pernah berputus asa untuk masa hadapan mereka," katanya. - DagangNews.com