Prospek sektor pembinaan pada 2025 diyakini positif didorong pelancaran projek infrastruktur mega - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor pembinaan pada 2025 diyakini positif didorong pelancaran projek infrastruktur mega - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jan - Prospek sektor pembinaan pada 2025 diyakini positif disokong pelancaran beberapa projek mega termasuk Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT) (dianggarkan RM8 bilion hingga RM12 bilion) dan pengembalian semula lima stesen LRT 3 (dianggarkan bernilai ehingga RM2 bilion).

 

Katanya, keadaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan penganugerahan projek Lebuhraya Pantai Utara (RM6 bilion) di Sarawak.   

 

Firma penyelidikan itu berkata, infrastruktur berkaitan air juga merupakan antara perkara utama untuk 2025 kerana Jabatan Pengairan dan Saliran telah meluluskan 43 projek tebatan banjir keutamaan tinggi bernilai RM10.5 bilion selepas menyemak perkembangan terkini.

 

"Belanjawan sebanyak RM2.5 bilion telah diluluskan oleh Kabinet untuk program Air Bukan Hasil Negara bermula dari 2025 hingga 2030," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, menurut Knight Frank, bekalan pusat data masa hadapan Malaysia (dalam pembinaan dan komited) ialah 1.3GW daripada anggaran kapasiti IT. 

 

Katanya, dengan mengandaikan 50% daripada 1.3GW bekalan masa hadapan, nilai pekerjaan yang berpotensi untuk kontraktor boleh menjadi RM19.5 bilion (berdasarkan anggaran kos purata RM30 juta setiap MW).

 

"Subsektor bangunan perindustrian termasuk pusat data, gudang dan kemudahan pembuatan menyaksikan penurunan beransur-ansur dalam keadaan tidak terjual daripada 2017 kepada separuh pertama 2024, manakala jumlah harta perindustrian dalam pembinaan telah meningkat sejak 2022," katanya.

 

"Kami percaya sektor ini belum matang untuk pengambilan untung yang besar, memandangkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan projek perkongsian awam-swasta seperti Lebuhraya Span Ipoh Barat dan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang masih belum dilaksanakan.

 

"Pemangkin yang berpotensi untuk sektor ini termasuk aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih kukuh pada 2025 (yang mungkin memacu permintaan bangunan industri) dan pelaksanaan LRT Johor Bahru atau sistem Autonomous Rapid Transit (ART) yang masih belum melihat sebarang kemas kini baharu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor pembinaan. - DagangNews.com