Cuba raih pelanggan baharu, persaingan telco gergasi makin sengit - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Cuba raih pelanggan baharu, persaingan telco gergasi makin sengit - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Syarikat telekomunikasi (telco) gergasi termasuk Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile meneruskan usaha mereka untuk meraih pelanggan baharu dengan memperkenalkan promosi langganan dalam waktu terhad. 

 

Berdasarkan semakan firma penyelidikan, CGS-CIMB Research, tawaran kuota internet mereka bagaimanapun tidak berubah dalam tempoh Jun hingga Ogos 2021 dan persaingan telco tersebut lebih sengit di peringkat pelan yang lebih murah. 

 

Sebagai contoh, Maxis melanjutkan rebat RM50 sebulan (lebih empat bulan) untuk pendaftaran dalam talian bagi RM98 hingga RM188 sehingga penghujung September 2021 dan menawarkan rebat RM20 sebulan untuk Hotlink Postpaid 60 sehingga Oktober 2021. 

 

“Kami percaya rebat-rebat ini merupakan usaha Maxis untuk meraih purata hasil langganan pascabayar setiap pengguna (ARPU) yang lebih tinggi, dan agak agresif dan menunjukkan persaingan pascabayar yang sengit, walaupun Maxis mungkin berupaya untuk menarik semula rebat berkenaan kerana tiada komisen pengendali bagi pendaftaran dalam talian,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Promosi tersebut menerima persaingan sengit daripada Celcom yang menawarkan rebat 50% untuk langganan pelan MEGA menerusi kredit Touch 'n Go e-wallet bagi pendaftaran dalam talian bermula pertengahan Ogos hingga penghujung September 2021. 

 

CGS-CIMB tidak menolak kemungkinan bahawa Celcom cuba untuk menumpukan kepada perolehan langganan yang bernilai lebih tinggi serta kekal berdaya saing, walaupun impak persaingan itu mungkin dihadkan oleh tawaran internet yang diberikan dalam masa terhad.

 

Sementara, U Mobile pula terus meningkatkan tekanan persaingan dengan melanjutkan tawaran kuota titik panas (hotspot) dua kali ganda bagi pelan tanpa had dalam jangka masa yang tidak ditetapkan, bermula penghujung April lalu.

 

“Kami melihat ini merupakan usaha U Mobile untuk meningkatkan daya tarikannya kepada pelanggan yang bekerja atau belajar dari rumah semasa pelbagai tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mungkin mengekalkan tekanan persaingan tinggi dalam pasaran,” ujar CGS-CIMB lanjut.

 

Dari segi segmen prabayar pula, firma itu melihat Maxis yang memperkenalkan pelan Prepaid Unlimited mungkin mahu menyaingi tawaran harga pelan internet oleh Digi dan Celcom selain meningkatkan ARPU daripada langganan sedia ada atau meraih langganan daripada rangkaian internet lain.

 

Secara keseluruhannya, Celcom menonjolkan prestasi lebih baik berbanding Maxis dan Digi untuk empat suku tahun berturut-turut, dengan hasil bagi perkhidmatan mudah alih pada suku kedua 2021 (2Q21) meningkat 9.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini mendahului lonjakan 1.3% yang dicatatkan oleh Maxis dan Digi (1.7%), menurut CGS-CIMB lanjut. 

 

“Prestasi Celcom itu terutamanya disumbangkan oleh penambahbaikan saluran dagangan yang berterusan, langganan produk pascabayar MEGA yang kukuh dan sumbangan lebih tinggi daripada pengendali rangkaian mudah alih mayanya (MVNO). 

 

“Perlu diperhatikan bahawa Celom kini merampas kedudukan Digi sebagai pengendali mudah alih dengan penguasaan pasaran hasil (RMS) kedua terbesar, setelah terlepas kedudukan itu pada tempoh 1Q20 hingga 4Q20,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com