Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 26 Mac - Malaysia mungkin akan mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan cukai baharu selepas ekonomi negara ini kembali pulih.
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan sedang mengkaji kebarangkalian bagi pelaksanaan cukai penggunaan.
Namun, Menteri Kewangan itu menegaskan bahawa, kerajaan telah memutuskan ini bukan tempoh yang tepat untuk memperkenalkan kaedah percukaian yang baharu.
“Selepas ekonomi telah pulih, kita (Malaysia) sememangnya perlu untuk melihat semula cara bagi mengembangkan pangkalan pendapatan negara,” katanya kepada Bloomberg TV.
Katanya lagi, kerajaan buat masa ini memberikan lebih tumpuan kepada sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan dan runcit.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) pula akan mendedahkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi laporan tahunannya menjelang 31 Mac 2021, jelas Tengku Zafrul.
Buat masa ini, Tengku Zafrul berkata, kerajaan masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar antara 6.5% hingga 7.5% bagi tahun ini, selepas menyaksikan penguncupan 5.6% pada 2020.
“Fokus kerajaan pada hari ini adalah untuk membangunkan semula ekonomi, kami mahu menghidupkannya semula.
“Kami perlu menyeimbangkan antara suntikan fiskal berjangka masa pendek untuk ekonomi dengan penyatuan fiskal (consolidation) dalam tempoh masa sederhana hingga panjang,” ujar beliau lanjut.
Pada Disember lalu, Bank Dunia mengunjurkan KDNK negara akan berkembang 6.7%, tetapi ia disemak semula lebih rendah pada kadar 6% menerusi Kemaskini Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasik bagi April 2021 bertajuk 'Uneven Recovery' yang dikeluarkan hari ini.
Baca : Bank Dunia semak semula unjuran KDNK kepada 6%
Menurutnya, keadaan itu dipengaruhi situasi semasa jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, ketidakstabilan politik dan pelancaran vaksin COVID-19 yang lebih perlahan dalam kalangan negara-negara maju.
Sebagai langkah memperkasakan ekonomi, kerajaan juga mengumumkan satu lagi pakej rangsangan iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion.
Pakej itu merangkumi RM11 bilion nilai suntikan fiskal baharu yang dibiayai menerusi pinjaman daripada pasaran kewangan domestik. - DagangNews.com