Cukai barang bernilai tinggi berpotensi jejas industri automotif Malaysia tahun ini – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Cukai barang bernilai tinggi berpotensi jejas industri automotif Malaysia tahun ini – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Industri automotif Malaysia berpotensi terjejas tahun ini berikutan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) yang bakal dilaksanakan mulai 1 Mei 2024, yang boleh memberi kesan kepada jualan kenderaan premium, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa industri mungkin terkesan dengan rasionalisasi subsidi bersasar dan kadar cukai perkhidmatan lebih tinggi, yang meliputi perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan.

 

Ia dijangka meningkatkan kos pemilikan kenderaan dan memberi kesan kepada jualan kereta baharu, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada tahun ini, cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 8% daripada 5%, manakala HVGT akan dilaksanakan ke atas kenderaan berharga lebih RM200,000.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata terdapat peningkatan trend daripada pengedar kepada model agensi, didorong terutamanya oleh rancangan pembuat kereta Barat untuk mewujudkan kehadiran lebih kukuh di Asia Tenggara.

 

“Peralihan ini menimbulkan ancaman kepada penggiat automotif tempatan, seperti yang dilihat dalam dua kes terbaharu Mercedes-Benz dan Hap Seng, serta Peugeot dan Bermaz Auto Bhd. Tesla di Malaysia dan barisan kenderaan elektrik bateri (BEV) Volvo juga telah menggunakan model agensi.

 

“Bagaimanapun, kami melihat trend ini sebagai pendekatan mempelbagaikan strategi dan bukannya anjakan sejagat, bergantung kepada objektif pelbagai pembuat kereta,” katanya.

 

Selain itu, satu lagi tema yang wajar diperhatikan adalah peralihan kenderaan elektrik (EV) dipercepatkan, dipacu oleh kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang dijangka memberikan impak positif jangka panjang terhadap industri, sejajar dengan kedudukan syarikat automotif dalam rantaian bekalan.

 

Selepas pandemik, Maybank IB berkata Malaysia telah muncul sebagai destinasi yang semakin menarik FDI daripada pengeluar kereta global yang berhasrat menubuhkan ibu pejabat serantau bagi hab EV mereka, termasuk jenama terkemuka seperti Volvo, Stellantis, Tesla dan Chery.

 

Sementara itu, pengeluar kereta seperti Mercedes-Benz, BMW, Porsche, Audi dan Dong Feng telah mengumumkan rancangan pemasangan tempatan kenderaan yang disasarkan bagi pasaran domestik dan eksport.

 

"Namun, kami menjangkakan persaingan lebih sengit dalam kalangan syarikat tempatan yang terlibat dalam rantaian pengeluaran dan pengedaran pada 2024, berpotensi menjejas margin mereka. Pertimbangan ini mengambil kira beberapa pelancaran produk baharu, termasuk jenama atau model EV sepanjang tahun ini," tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan jangkaan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) menjadi stabil pada 650,000 unit tahun ini berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 750,000 unit.

 

Pilihan utamanya bagi sektor ini adalah Bermaz Auto dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP)  RM3.51 sesaham berikutan asas kukuh dan kedudukan kewangan berdaya tahan, di samping aliran tunai yang mantap dan tawaran pulangan dividen menarik melebihi 8%.  - DagangNews.com