KUALA LUMPUR 17 Mac. - Kadar cukai eksport maksimum minyak sawit mentah (MSM) dikekalkan sebanyak 8% bagi tempoh 1 hingga 30 April 2021.
Peratusan berkenaan adalah lanjutan daripada kadar eksport sejak Januari 2021.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam pekeliling yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberitahu, kadar duti eksport itu ditetapkan selepas harga pasaran MCM melepasi RM3,450 satu tan, seperti dilapor Bernama.
Struktur cukai eksport itu bermula pada 3% bagi MSM dalam lingkungan RM2,250 hingga RM2,400 satu tan.
Kadar cukai maksimum ditetapkan pada 8% apabila harga melebihi RM3,450 satu tan.
Pada Jun hingga Disember 2020, eksport cukai itu ditetapkan pada kadar sifar bagi membantu meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara-negara lain terutamanya India.
Pengecualian duti eksport juga bertujuan membantu menyokong industri komoditi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk merangsang ekonomi ekoran pandemik COVID-19.
Sewaktu ditutup pada Selasa, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2021 turun RM81 kepada RM4,170 satu tan, Mei 2021 berkurangan RM129 kepada RM4,009 satu tan, Jun 2021 susut RM123 kepada RM3,897 satu tan dan Julai 2021 turun RM116 kepada RM3,790 satu tan.
Kontrak niaga hadapan MSM ditutup rendah disebabkan pengeluaran yang lebih tinggi, berdasarkan data Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit, Semenanjung Selatan.
Bagaimanapun, pada Isnin harga komoditi itu mencapai RM4,247.50 satu tan, paras tertinggi dalam sejarah industri minyak sawit negara. - DagangNews.com