Cukai LVG: Laman e-dagang digesa tidak kenakan kos tambahan kepada penjual tempatan - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

Cukai LVG: Laman e-dagang digesa tidak kenakan kos tambahan kepada penjual tempatan - SAMENTA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa pengendali-pengendali laman e-dagang untuk segera memudahcarakan pelaksanaan cukai barang bernilai rendah (LVG) bagi penjual tempatan dan asing.  

 

Presiden SAMENTA, Datuk Willam Ng berkata, walaupun penjual barangan tempatan tidak terlibat dalam cukai LVG, namun mereka tidak harus dikenakan sebarang kos tambahan. 

 

Katanya, ia adalah tanggungjawab sosial laman-laman e-dagang untuk menyokong penjual tempatan dan produk buatan Malaysia selepas mendapatkan pelbagai bantuan dalam bentuk pemudahcaraan peraturan, sokongan promosi, dan bantuan kewangan yang diberikan kepada mereka daripada pelbagai agensi kerajaan selama ini. 

 

"Cukai LVG adalah berita baik untuk peniaga tempatan dan akan membantu merapatkan jurang ketidaksetaraan dengan penjual asing. Pendaftaran wajib serta cukai LVG juga dapat memberi pendapatan tambahan kepada negara dan menyokong nilai mata wang ringgit.

 

"Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk membeli daripada peniaga tempatan. Ini bukan sahaja menyokong ekonomi tempatan, tetapi juga melindungi diri dan keluarga daripada penipuan dalam talian serta risiko kebakaran, keselamatan, dan kesihatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Ng, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan cukai LVG pada kadar 10% bermula 1 Januari 2024. 

 

Katanya, SAMENTA adalah antara penyokong awal cukai itu dan bersyukur kerajaan mengambil langkah tegas untuk melaksanakannya, walaupun terdapat desakan kuat daripada pengendali-pengendali laman e-dagang untuk menangguhkan cukai tersebut. 

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

Peniaga tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), berdepan dengan persaingan tidak adil dengan penjual luar negeri, katanya.

 

"Peniaga tempatan terpaksa membayar cukai pada pelbagai titik rantaian bekalan, termasuk ketika membawa masuk komponen atau bahan mentah serta barang siap ke Malaysia. 

 

"Tetapi, penjual asing dan peniaga ‘dropship’ tempatan, kebanyakannya terlepas dari membayar cukai kepada Malaysia. Ini secara langsung menyebabkan harga barangan tempatan lebih tinggi daripada yang dibawa masuk melalui saluran dalam talian," katanya.

 

Selain itu katanya, barangan luar negeri yang dibawa masuk menggunakan kurier kebanyakannya tidak melalui ujian keselamatan dan kualiti dari SIRIM untuk barangan elektrik, makanan dan produk farmaseutikal seperti yang diwajibkan untuk pengilang dan pengimport tempatan. 

 

Katanya, ia boleh menimbulkan risiko kebakaran, keselamatan, dan kesihatan kepada pengguna tempatan. - DagangNews.com