Cukai Makmur mampu jana pendapatan tambahan minimum RM3 bilion kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Cukai Makmur mampu jana pendapatan tambahan minimum RM3 bilion kepada kerajaan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pelaksanaan Cukai Makmur yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sesi pembentangan Bajet 2022 dilihat mampu menjana pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM3 bilion kepada kerajaan.

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, cukai tersebut hanya dikenakan kepada syarikat yang memperoleh pendapatan bercukai melebihi RM100 juta secara one-off tahun hadapan.

 

“Bagi pendapatan bercukai RM100 juta pertama dikenakan cukai pada kadar 24 peratus dan selebihnya pada kadar 33 peratus secara one-off.

 

“Kami tak pasti jumlah sebenar tetapi kami menjangkakan anggaran sekurang-kurangnya RM3 bilion ke atas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya anggaran perolehan kerajaan daripada pelaksanaan Cukai Makmur.

 

Jumaat lalu, Tengku Zafrul membentangkan bahawa kerajaan bercadang memperkenal cukai khas secara one-off kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi dikenali sebagai Cukai Makmur dan ia adalah bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.

 

Sementara itu, Yamani Hafez berkata, cadangan mewujudkan cukai nilai tambah (VAT) perlu diteliti bagi menentukan kaedah serta pendekatan terbaik. 

 

“Kami ada menerima pelbagai cadangan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau VAT namun paling penting kami perlukan masa sesuai untuk itu.

 

“Kita juga perlu belajar untuk memperkasakan dan belajar daripada kelemahan sewaktu melaksanakan GST pada masa lalu terutama sekali dalam kaedah bayaran balik,” jelas beliau.-DagangNews.com