Cukupkah usaha kerajaan bantu industri penerbangan? | DagangNews Skip to main content

Cukupkah usaha kerajaan bantu industri penerbangan?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Tahun 2021 menjadi satu lagi tempoh mencabar buat industri penerbangan di seluruh dunia setelah terhimpit dengan krisis pandemik COVID-19 lebih setahun lalu. 

 

Khazanah Nasional Berhad, yang merupakan pemegang saham tunggal Malaysia Airlines Berhad (MAB) turut menjangkakan pemulihan perjalanan udara semakin sukar dan tidak mungkin berlaku seawal 2024. 

 

Selain MAB, Khazanah juga memiliki 33.21% pegangan dalam Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) yang turut terjejas akibat wabak itu apabila mencatat kerugian sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. 

 

Minggu lalu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah terpaksa mengambil langkah-langkah berkesan untuk mengekang penyebaran COVID-19 yang mengakibatkan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan menerima kesan paling ketara. 

 

Dalam masa sama, AirAsia Group juga tidak terkecuali melaksanakan pelan penstrukturan semula di tengah-tengah kegawatan pandemik ini. 

 

Tahun lalu, AirAsia X dilaporkan mengemukakan cadangan penstrukturan semula hutang membabitkan hutang tidak bercagar AS$15.3 bilion kepada jumlah prinsipal sebanyak AS$48 juta (RM200 juta) dengan bakinya terkecuali.

 

Selain itu, AirAsia juga telah menutup operasi di Jepun selepas gabungan 33% kumpulan syarikat penerbangan AirAsia Japan Co Ltd (AAJ) difailkan bagi tujuan bankrap dengan Mahkamah Daerah Tokyo.

 

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang mewakili 290 syarikat penerbangan global sebelum ini menegaskan apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang sukar diharungi industri jika tidak mendapat bantuan tambahan daripada kerajaan masing-masing.

 

malaysia airlines

 

 

 

Komitmen kerajaan

 


Laporan Flight Global baru-baru ini memberi contoh 3 syarikat penerbangan di rantau Asia Tenggara yang mempunyai banyak persamaan dari segi pemilikan kerajaan iaitu Garuda Indonesia (50.5%), MAB (kerajaan melalui Khazanah) dan Thai Airways International (47.7%). 

 

Malah, syarikat penerbangan ini telah sekian lama bergelut sebelum pandemik COVID-19 menghancurkan perjalanan udara di rantau ini.  

 

Di sebalik pelbagai isu, kerajaan di negara masing-masing masih kekal dengan syarikat penerbangan nasional dan jika soal komitmen dibangkitkan, inilah masanya yang mana mereka perlu membuat keputusan sama ada terus memegang saham majoriti atau sebaliknya. 

 

Dalam situasi MAB, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan kekal sebagai pemegang saham terbesar dan sebarang rundingan bagi pelabur baharu hanya akan berlaku selepas pemulihan dalam industri penerbangan.

 

Jika melihat kepada komitmen Khazanah terhadap MAB, keuntungan operasi dana itu bagi 2020 susut 60.8% kepada RM2.9 bilion berbanding 2019, RM7.4 bilion yang diheret oleh rosot nilai yang tinggi berjumlah RM6 bilion yang mana sebahagian besarnya melibatkan aset penerbangan dan perhotelan, berbanding RM4.9 bilion pada tahun lalu. 

 

Sebahagian besar rosot nilai berjumlah RM3.1 bilion ini diperuntukkan untuk membantu syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Berhad (MAGB) dalam mengharungi tahun 2020. 

 

Sumber : Khazanah Nasional Berhad
Sumber : Khazanah Nasional Berhad

 

 

Pada 22 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Keadilan England dan Wales meluluskan Skim Pengaturan antara entiti penyewaan Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB), MAB Leasing Limited, dengan majoriti pemberi pajak operasi pesawat MAGB, setelah menerima sokongan sebulat suara daripada pihak pemberi pajak berkenaan.

 

Ia adalah komponen penting bagi usaha penyusunan semula yang lebih luas untuk mencapai pengurangan liabiliti MAGB yang kini berjumlah lebih RM15 bilion.

 

Bahkan, usaha Khazanah memulihkan syarikat penerbangan nasional ini telah lama bermula sejak dana ini menjadikan MAB sebagai syarikat persendirian pada 2014 selepas tragedi MH370 dan MH17. 

 

Namun, usaha itu agak tergendala apabila MAB terus mencatat kerugian pada 2019 dan kemudiannya dihimpit krisis COVID-19. 

 

Bagaimanapun, bagi Khazanah, terdapat isu lebih besar yang masih membelenggu industri penerbangan negara dan  menyukarkan pelan pemulihan MAB. 

 

Shahril Ridza telah berulang kali membangkitkan isu mengenai lebihan kapasiti yang dilihat sudah lama berlaku walaupun sebelum kedatangan wabak ini yang terus menjejaskan industri penerbangan. 

 

Sebelum ini, beliau menganggarkan terdapat 1.7 tempat duduk bagi setiap penumpag dengan adanya Malindo Air dan AirAsia dalam pasaran. 

 

Namun, Penganalisis Penerbangan Endau Analytics Shukor Yusof berkata, berdasarkan data MAHB, syarikat penerbangan yang paling banyak membawa 'multiplier effects' kepada ekonomi Malaysia, termasuk pelancongan adalah AirAsia. 

 

"Ia bukannya Malaysia Airlines seperti mana diuar-uarkan oleh Khazanah," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Menurutnya, isu lebihan kapasiti ini juga berlaku di negara asing dan bukan sahaja di Malaysia. 

 

Cuma, masalahnya di Malaysia kerajaan tidak mengutamakan keuntungan sebagai faktor penting yang patut dikejar oleh syarikat penerbangan, katanya lagi.

 

"Untuk mengatasi masalah ini, harus kurangkan jumlah kerusi, ataupun tutup syarikat yang tidak membawa hasil.

 

"Tetapi pendapat saya, kerajaan tiada pelan yang munasabah untuk memperbaiki industri penerbangan yang telah dibaham COVID-19," tambah beliau. 

 

 

Industri aeroangkasa masih bertahan

 

 

Bagaimanapun, di sebalik isu-isu membabitkan syarikat penerbangan, sektor penerbangan secara meluas turut terkesan dengan pandemik ini. 

 

Apabila industri penerbangan berdepan saat sukar, ia secara tidak langsung menyaksikan sektor aeroangkasa mencatat penurunan sehingga 40% tahun lalu apabila syarikat penerbangan di seluruh dunia lewat menerima penghantaran pesawat.

 

 

industri aeroangkasa

 

 

Namun, Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Datuk Naguib Mohd Nor optimis industri akan pulih semula pada 2022 atau sekurang-kurangnya 2023 terutama dengan adanya program vaksin COVID-19. 

 

"Buat masa ini, walaupun syarikat-syarikat terpaksa mengambil langkah-langkah sewajarnya, ini dapat mengurangkan kos kebanyakan daripada syarikat-syarikat ini yang masih menjalankan operasi," katanya.  

 

Antara langkah diambil termasuklah mengurangkan tenaga pekerja dan inventori bagi mengurangkan beban kewangan syarikat.

 

Beliau berkata, dalam masa sama, terdapat banyak juga syarikat yang melihat peningkatan di dalam jumlah 'Request For Quotation' disebabkan syarikat-syarikat di negara maju yang mengalami kesusahan ketika COVID-19. 

 

"RFQ ini akan mengambil masa 1 hingga 2 tahun untuk dimeterai. Inilah peluang yang baik untuk syarikat-syarikat ini dibaik pulih," jelasnya. 

 

Menurutnya, industri aeroangkasa merupakan sektor yang rumit dan berteknologi tinggi dan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 telah mengiktiraf industri aeroangkasa sebagai salah satu industri strategik untuk masa depan negara. 

 

 

2021 masih suram

 

Data terbaharu yang dikeluarkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan permintaan penumpang udara bagi Januari 2021 (diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) berkurangan sebanyak 72% berbanding Januari 2019 dan lebih buruk berbanding penurunan 69.7% tahun ke tahun pada Disember 2020.

 

Selain itu, permintaan penumpang antarabangsa pada Januari juga merosot 85.6% daripada Januari 2019, penurunan selanjutnya berbanding 85.3% penyusutan tahun ke tahun yang dicatatkan pada Disember lalu.

 

Bagi tempoh sama, trafik syarikat penerbangan di Asia Pasifik menjunam 94.6% berbanding 2019 atau tidak berubah daripada penyusutan 94.4% bagi Disember 2020 berbanding setahun lalu.

 

Lebih memburukkan keadaaan, IATA turut menjangkakan industri ini akan membelanjakan antara AS$75 hingga AS$95 bilion dalam tunai bagi tahun ini berbanding mencatat pulangan tunai yang positif pada suku keempat sebagaimana dijangkakan pada awalnya.

 

 

airasia

 

 

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac dalam kenyataan berkata, tempoh sekatan yang tidak pasti ini juga memberi impak terhadap perjalanan udara pada masa depan. 

 

"Jumlah tempahan akan datang bagi Februari tahun ini membabitkan perjalanan musim panas di Hemisfera Utara, juga susut 78% di bawah paras yang dicatatkan pada Februari 2019.

 

Menurut IATA, perbandingan antara prestasi bulanan 2021 dan 2020 itu memaparkan impak ketara akibat COVID-19 dengan perbandingan sehingga Januari 2019 yang berdasarkan aliran permintaan biasa.

 

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, beliau berharap ketibaan vaksin ke Malaysia  akan menjadi petunjuk utama ke arah pemulihan industri perjalanan dunia dalam masa terdekat. 

 

Beliau menyifatkan, sektor penerbangan tidak pernah berdepan dengan sekatan perjalanan global seperti yang berlaku ketika ini.  

 

Malah, AirAsia katanya, telah berdepan pelbagai krisis sebelum ini seperti memulakan syarikat selepas tragedi 9/11, wabak selesema burung SARS, tsunami dan gempa bumi tetapi COVID-19 adalah cabaran terbesar kepada syarikat.

 

"Setelah setahun membendung kos operasi termasuk menamatkan operasi di Jepun dan mengurangkan kepentingan kami di India, akhirnya kami dapat melihat perkembangan positif," katanya.

 

Walaupun, vaksin COVID-19 menjadi harapan kepada pemulihan sektor penerbangan, namun, masih banyak ketidaktentuan masih menyelubungi sektor ini selagi pandemik ini belum berakhir.

 

IATA sendiri turut melahirkan kebimbangan kewujudan varian baharu virus akan menyebabkan kerajaan meningkatkan lagi sekatan perjalanan yang sudah tentu akan memburukkan lagi situasi industri penerbangan di seluruh dunia. - DagangNews.com