Dagangan Malaysia berkembang 13.0%, cecah RM181.1 bilion | DagangNews Skip to main content

Dagangan Malaysia berkembang 13.0%, cecah RM181.1 bilion

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Jumlah dagangan Malaysia berjaya mengekalkan momentum positif pada Julai 2021 dengan pengembangan 13.0% bagi mencecah RM181.0 bilion berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi eksport dan import juga menunjukkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan masing-masing 5.0% dan 24.0% di sebalik impak pandemik COVID-19.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport Malaysia disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

 

Menurutnya, eksport domestik yang bernilai RM76.6 bilion menyumbang 78.7% kepada jumlah eksport, berkembang 5.9% tahun ke tahun.

 

.

 

Eksport semula pula mencatatkan RM20.7 bilion dengan peningkatan 2.0%.

 

"Import pada Julai 2021 berjumlah RM83.6 bilion, naik 24.0% berbanding Julai 2020 sekali gus melepasi pertumbuhan eksport untuk tiga bulan berturut-turut.

 

"Lebihan dagangan pula adalah sebanyak RM13,7 bilion, menurun 45.8%," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas berkaitan pengembangan 13,0% dagangan Malaysia, beliau memberitahu, kesan daripada aktiviti ekonomi dalam negara yang perlahan, prestasi bulan ke bulan bagi eksport, jumlah dagangan dan lebihan dagangan menunjukkan penurunan masing-masing 7.7%, 4.1% dan 38.5%.

 

.

 

Import sebaliknya meningkat sedikit sebanyak 0.5%.

 

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM1.2 bilion), Australia (+RM841.4 juta), Bangladesh (+RM743.2 juta), Indonesia (+RM632.0 juta) dan Jepun (+RM597.6 juta).

 

Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan import (+RM5.7 bilion), diikuti Kesatuan Eropah (+RM2.3 bilion), Indonesia (+RM1.6 bilion), Korea Republik (+RM1.6 bilion), Brazil (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.2 bilion) dan Jepun (+RM963.9 juta).

 

"Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (+RM4.4 bilion); minyak kelapa  sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.0 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.5 bilion); gas asli cecair (+RM1.3 bilion); barangan perkilangan logam (+RM661.1 bilion).

 

"Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (+RM2.9 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM2.6 bilion); bijih loham dan sekerap logam (+RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.1 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM1.1 bilion); barangan besi & keluli (+RM785.3 juta) dan petroleum mentah (+RM722.0 juta)," tambah beliau lagi. - DagangNews.com