ITMAX terima kontrak pengurusan tempat letak kereta pintar keempat di Johor | DagangNews Skip to main content

ITMAX terima kontrak pengurusan tempat letak kereta pintar keempat di Johor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - ITMAX System Bhd dilantik Majlis Perbandaran Segamat (MPS) bagi mengendalikan 7,637 tempat letak kereta jalanan di daerah Segamat, Johor menandakan kontrak keempat seumpamanya di negeri itu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kontrak 15 tahun itu menyaksikan anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd memperoleh 70% daripada hasil yang dijana daripada kutipan tempat letak kereta dan kompaun tempat letak kereta di bawah model perkongsian hasil, dengan MPS berhak mendapat baki 30%.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan kontrak tempat letak kereta pintar keempatnya di Johor, yang menekankan dedikasi kumpulan bagi memajukan perkhidmatan bandar melalui teknologi.

 

"Sistem tempat letak kereta pintar penting kepada evolusi bandar pintar, membolehkan majlis tempatan mengoptimumkan pengurusan tempat letak kereta sambil memberikan pengguna pengalaman yang lancar dan boleh diakses.

 

"Memandangkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dan rumusan digital semakin meningkat, kami teruja untuk menyaksikan kesan transformatif inisiatif kami terhadap landskap tempat letak kereta Johor. 

 

"Kami berharap dapat mengembangkan tawaran inovatif kami ke kawasan tambahan di seluruh negeri," katanya.

 

Selain Segamat, ITMAX juga menerima kontrak mengendalikan tempat letak kereta di Iskandar Puteri, Kulai dan Tangkak.

 

Kumpulan itu juga menjalankan pemasangan kamera keselamatan di Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri, serta di Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang mana ITMAX juga menerima kontrak untuk memasang lampu jalan. - DagangNews.com