Semakan cukai 'durian runtuh' minyak sawit, peruntukan penanaman semula lebih besar di bawah pertimbangan Bajet 2025 - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Semakan cukai 'durian runtuh' minyak sawit, peruntukan penanaman semula lebih besar di bawah pertimbangan Bajet 2025 - Johari Ghani

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kajian semula cukai 'durian runtuh' ke atas minyak sawit dan peruntukan dana yang lebih besar untuk penanaman semula kelapa sawit untuk pekebun kecil merupakan antara isu yang dicadangkan pertimbangan di dalam Bajet 2025, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata, pemain industri minyak sawit meminta kerajaan untuk menyemak semula secara terperinci pelaksanaan cukai 'durian runtuh', yang dilihat tidak sesuai berikutan peningkatan kos.

 

Katanya, sebelum ini, kos pengeluaran satu tan minyak sawit adalah sekitar RM1,800, tetapi kini meningkat kepada purata antara RM2,800 dan RM3,000 bagi setiap tan.

 

Johari berkata, cukai 'durian runtuh' itu dikenakan apabila harga minyak sawit mencecah RM3,500 satu tan, mengakibatkan margin keuntungan kecil dan ia memerlukan kajian semula cukai.

 

“Bagi menggalakkan lebih ramai pemain industri untuk terus melabur dalam industri ini, kerajaan perlu melihat struktur cukai 'durian runtuh'.

 

jo ghani
Datuk Seri Johari Abdul Ghani

 

"Saya telah membentangkan perkara ini kepada Kementerian Kewangan (MOF) dua minggu lalu, dan kita akan menunggu pertimbangan mereka," katanya kepada pemberita selepas Anugerah Industri Minyak Sawit Malaysia 2023/2024, hari ini.

 

Johari juga berkata, dana penanaman semula yang lebih besar untuk pekebun kecil diperlukan untuk membantu mereka menanam semula kelapa sawit, kerana hampir 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit di negara ini diuruskan oleh pekebun kecil.

 

Dalam Bajet 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), yang diagihkan Agrobank dan berasaskan gabungan 50% geran dan 50% pinjaman.

 

Beliau berkata, jumlah itu perlu ditambah kerana penanaman semula minyak sawit adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara.

 

"Terdapat ramai lagi pekebun kecil yang memerlukan pembiayaan itu bagi penanaman semula kelapa sawit untuk memastikan eksport kita pada masa hadapan tidak terjejas," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohammad Helmy Othman Basha berkata, prestasi pengeluaran minyak sawit mencatatkan peningkatan sebanyak 10.2% kepada 12.6 juta tan metrik setakat Ogos 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.

 

Beliau berkata, dalam tempoh sama, nilai eksport produk minyak sawit meningkat 12.6% kepada RM69 bilion.

 

“Dengan pulangan pendapatan sawit yang stabil, penanaman sawit menjadi pilihan pemilik ladang dan pekebun kecil, kini meliputi kawasan seluas 5.6 juta hektar. 

 

"Hampir separuh daripada kawasan penanaman sawit iaitu 2.5 juta hektar berada di Semenanjung Malaysia, manakala 1.49 juta hektar di Sabah dan 1.62 juta hektar di Sarawak," katanya. - DagangNews.com