KUALA LUMPUR 29 Nov - Perdagangan Malaysia pada Oktober 2021 mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila sekali lagi mencatatkan rekod nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan.
Ia menyaksikan perdagangan pada bulan tersebut berkembang 26.5% kepada RM202.61 bilion berbanding Oktober 2020, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat kali pertama.
Menteri Kenan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi itu juga mencerminkan pertumbuhan 2 digit yang ke-9 berturut-turut sejak Februari 2021.
Katanya, eksport meningkat 25.5% kepada RM114.43 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut sejak September 2020.
“Import pula meningkat 27.9% kepada RM88.18 bilion manakala lebihan dagangan berkembang 17.9% kepada RM26.25 bilion,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hari ini.
Pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya menerusi kenaikan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Setakat ini, eksport barangan perkilangan logam dan barangan E&E mencatatkan nilai bulanan tertinggi.
Eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan 2 digit manakala ksport ke ASEAN mencatatkan nilai bulanan tertinggi.
Mohamed Azmin berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama 2021, perdagangan meningkat 23.5% kepada RM1.805 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Eksport telah melepasi paras RM1 trilion hanya dalam tempoh 10 bulan, naik 25% kepada RM1.004 trilion dan melebihi jumlah keseluruhan eksport 2020.
“Malah, eksport turut mengatasi nilai tahunan tertinggi setakat ini yang dicatatkan pada 2018.
"Import pula berkembang 21.8% kepada RM801.17 bilion dan lebihan dagangan melonjak 39.2% kepada RM202.58 bilion,” katanya.
Menurut beliau, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini.
Barangan eksport utama pada Oktober 2021 adalah barangan E&E, bernilai RM42.01 bilion dan merangkumi 36.7% daripada jumlah eksport, meningkat 8.8% berbanding Oktober 2020.
Ini diikuti oleh keluaran petroleum, RM9.88 bilion, 8.6% daripada jumlah eksport, melonjak 126%; barangan perkilangan logam, RM7.78 bilion (melonjak 146.9%); minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.36 bilion (meningkat 34.6%) serta kimia dan bahan kimia, RM6.61 bilion (menokok 58.9%). - DagangNews.com