Dagangan sekuriti Scomi Energy digantung pada 24 Julai selain berisiko dinyahsenarai | DagangNews Skip to main content

Dagangan sekuriti Scomi Energy digantung pada 24 Julai selain berisiko dinyahsenarai

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Dagangan sekuriti Scomi Energy Services Berhad akan digantung pada 24 Julai ini dan berkemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia dua hari kemudian.

 

Bagaimanapun ia tertakluk kepada rayuan yang difailkan kumpulan itu.

 

Perkara itu berlaku selepas mereka gagal untuk mendapatkan lebih masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semula bagi status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Permohonan Scomi Energy ditolak kerana syarikat itu gagal memenuhi keperluan Bursa Securities bagi memuktamadkan serta penyerahan pelan penyusunan semula kepada pihak kawal selia.

 

Jika Scomi memfailkan rayuan terhadap penyahsenaraian sebelum 21 Julai, penyahsenaraian pada 26 Julai akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan. 

 

“Bagaimanapun, Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti syarikat pada 24 Julai ini walaupun keputusan rayuan syarikat masih belum selesai,” katanya.

 

Scomi Energy yang seharusnya menyerahkan pelan penyusunan semula pada 31 Mei lalu memohon agar tempoh itu dilanjutkan kepada 30 November.

 

Syarikat itu jatuh ke dalam status PN17 pada Januari 2020, apabila ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan jatuh di bawah 50% daripada modal saham terbitannya.

 

Kumpulan itu berada dalam kerugian sejak empat tahun kewangan lalu dengan kerugian bersih sebanyak RM27.59 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22), RM211.57 juta pada FY21, RM184.29 juta pada FY20, dan RM93.04 juta pada 15MFY19.- DagangNews.com