KUALA LUMPUR 25 Okt. - Daibochi Bhd. melanjutkan tempoh tawaran pengambilalihan daripada Scientex Bhd. kepada 8 November ini, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tarikh tutup bagi tawaran itu sepatutnya berakhir hari ini, pukul 5 petang, seperti yang diumumkan 4 Oktober lalu.
Notis kenyataan yang dikeluarkan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. hari ini menyatakan tawaran pengambilalihan itu masih terbuka sehingga pukul 5 petang, 8 November 2021.
"Melainkan terdapat lagi lanjutan seperti termaktub dalam peraturan atau sebagaimana ditentukan pihak yang mengeluarkan tawaran dan diumumkan oleh UOB Kay Hian (bagi pihak penawar), sekurang-kurangnya 2 hari sebelum tarikh lanjutan ditutup.
"Kecuali tarikh lanjutan, semua butiran, terma dan syarat-syarat yang ditawarkan dalam dokumen tawaran adalah kekal tidak berubah," jelasnya.
Baca : Daibochi ada sehingga 25 Oktober terima tawaran Scientex
Pada 13 September lalu, Scientex bercadang untuk menjadikan anak syarikatnya, Daibochi sebagai syarikat persendirian dengan membuat tawaran untuk memperoleh semua baki saham dan waran yang tidak dimiliki oleh pengeluar bahan pembungkusan fleksibel itu pada harga RM345.3 juta secara tunai.
Cadangan pengambilalihan sukarela itu memerlukan tawaran untuk membeli 38.12% saham Daibochi yang diterbitkan tidak termasuk saham perbendaharaan dengan harga RM2.70 setiap satu dan 95.75% waran tertunggak masing-masing pada harga 32 sen.
Petang ini, ketika ditutup saham Daibochi diniagakan tidak berubah pada RM2.70 sesaham. - DagangNews.com