Dakwa kanak-kanak imun COVID-19, Facebook padam hantaran video Trump | DagangNews Skip to main content

Dakwa kanak-kanak imun COVID-19, Facebook padam hantaran video Trump

Facebook

NEW YORK 6 Ogos - Facebook bertindak memadam satu hantaran video berkaitan COVID-19 yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam akaun peribadinya. 

Menurut jurucakap Facebook, Andy Stone, video tersebut dipadam kerana melanggar peraturan Facebook dengan membuat dakwaan palsu bahawa kanak-kanak adalah imun terhadap virus COVID-19.

"Video ini mengandungi tuntutan palsu bahawa wujudnya golongan yang kebal daripada COVID-19. Maklumat yang salah itu berbahaya dan melanggar dasar kami," jelas Stone seperti dipetik CNN.

Video yang sama juga telah dimuat naik ke Twitter menerusi kempen Trump yang kemudiannya dikongsi dari akaun utama presiden AS itu.

Donald Trump
Donald Trump

 

Sementara itu, jurucakap kepada kempen Trump, Courtney Parella memberitahu, tindakan tersebut adalah sebagai tindak balas pihaknya susulan tindakan Facebook memadam hantaran yang dibuat Trump.

Jelasnya, hantaran video tersebut adalah fakta yang menyatakan bahawa kanak-kanak kurang terdedah kepada COVID-19.

Parella turut menuduh Silicon Valley bersikap berat sebelah terhadap presidennya.

"Syarikat media sosial bukanlah penentu kepada kebenaran," katanya.

Dalam masa yang sama, Facebook mengakui, meskipun pihaknya pernah memadam hantaran yang dibuat Trump sebelum ini, namun ini adalah kali pertama tindakan sama diambil disebabkan oleh peraturan maklumat palsu berkaitan COVID-19.

Terdahulu, Facebook juga bertindak memadam satu iklan yang dijalankan oleh kempen Trump kerana didapati mengandungi simbol Nazi. - DagangNews.com