Dakwaan buruh paksa: Tindakan AS terhadap Sime Darby tidak berasas - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Dakwaan buruh paksa: Tindakan AS terhadap Sime Darby tidak berasas - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mendakwa Sime Darby Plantation (SDP) terbabit dalam kegiatan buruh paksa adalah bersifat terburu-buru dan tidak berasas.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada AS dalam masa terdekat.

 

Jelasnya, kementerian akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu tersebut daripada agensi di negara itu bagi mencapai jalan penyelesaian segera.

 

"KPPK akan bekerjasama dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi menyelesaikan isu berkenaan.

 

"Selain itu, kementerian akan memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di AS dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Zuraida berkata, kementerian menghargai kelonggaran diberikan CBP kepada SDP untuk menghasilkan laporan audit bebas bagi menyangkal dakwaan tersebut.

 

Beliau secara tegas mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

"Kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik serta antarabangsa yang ditetapkan. Saya yakin dengan usaha berterusan pihak kementerian dan semua agensi berkaitan, isu ini akan dapat diselesaikan segera," katanya.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Katanya, kementerian terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.

 

"Kementerian menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan menjatuhkan industri minyak sawit negara," katanya. - DagangNews.com