Dana hijau ECF, P2P manfaatkan 3,000 usahawan | DagangNews Skip to main content

Dana hijau ECF, P2P manfaatkan 3,000 usahawan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Platform digital melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang dilancarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mencapai sebanyak RM1.3 bilion setakat akhir Disember 2020. 

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, dana ini telah memberi manfaat kepada 3,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS). 

 

Katanya, selain ECF yang dilancarkan 2015 diikuti pembiayaan P2P pada 2016, kedua-duanya menawarkan alternatif kepada mekanisme pembiayaan tradisional, kerana platform ini menyediakan pilihan pembiayaan berskala lebih kecil untuk memenuhi keperluan pembiayaan. 

 

"Sebilangan syarikat telah mengakses ECF dan pembiayaan P2P untuk mengumpul dana bagi projek dan perniagaan hijau mereka seperti tenaga suria, pengurusan sisa dan kecekapan tenaga," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal kali pertama hari ini. 

 

Edisi pertama NaviGate, yang diadakan secara maya, tertumpu pada PKMS dan saluran pembiayaan alternatif pasaran modal yang tersedia melalui ECF dan P2P. 

 

Seramai 100 peserta dan 40 PMKS dari sektor teknologi hijau dan tenaga lestari di Malaysia mengambil bahagian dalam program yang menghubungkan mereka kepada pembiayaan P2P dan platform ECF.

 

Kaji Selidik Pembiayaan Hijau yang dijalankan oleh SC pada 2020, juga mengetengahkan permintaan tinggi terhadap pilihan pembiayaan berskala lebih kecil dan peluang pembiayaan yang belum dimanfaatkan
dalam segmen PMKS hijau.

 

Syed Zaid berkata, kerajaan menyedari peranan penting yang dimainkan PMKS dalam menyumbang ke arah pertumbuhan, pewujudan pekerjaan dan inovasi negara, dan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta dan RM50 juta dalam Belanjawan 2021, masing-masing bagi pelaburan ECF dan P2P, melalui Malaysia CoInvestment Fund.

 

Selain pembiayaan, katanya, platform ini juga menyediakan peluang kepada penerbit tawaran untuk membina kesedaran jenama dengan prospektif pengguna.

 

"Dengan pelabur di bawah berumur 35 tahun menyumbang hampir 60% daripada pelabur individu di bawah platform ECF dan P2P, ini adalah jalan terbaik untuk mempromosi perniagaan kepada demografi yang sedang meningkat," jelasnya. - DagangNews.com