Dana khas RM2 bilion tarik pelaburan asing - Bajet 2022 | DagangNews Skip to main content

Dana khas RM2 bilion tarik pelaburan asing - Bajet 2022

KUALA LUMPUR 29 Okt - Dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion akan disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tetap komited untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik dan dapat memberi kesan limpahan signifikan kepada ekonomi. 

 

"Bagi memperkasa daya pemulihan ekonomi negara pula, Bajet ini memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan.

 

"Untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi, RM80 juta akan disediakan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang, elektrik dan elektrikal (E&E) di Kulim dan Kimia di Gebeng," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan menyediakan RM50 juta menerusi pusat pembangunan kemahiran negeri, seperti di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, bagi meningkatkan tahap kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik.

 

"Saya berpeluang bertemu dengan Kamarul Muhamed, pengasas syarikat Aerodyne Group di Cyberjaya dan berasa amat kagum dengan perkembangan syarikat Bumiputera ini. Aerodyne telah memulakan operasi pada tahun 2014 dengan hanya tiga orang pekerja sahaja.

 

"Pada hari ini, Aerodyne telah berkembang pesat dan dinobatkan sebagai syarikat terbesar di dunia dalam industri perkhidmatan teknologi dron. Maka, bagi terus merancakkan pembabitan pemain industri tempatan menceburi bidang ini, geran padanan bernilai RM100 juta disediakan untuk syarikat PKS Bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa.


 

aerodyne



"Bagi meningkatkan produktiviti melalui automasi, Kerajaan turut menyediakan RM100 juta sebagai geran padanan Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan melanjutkan elaun pelaburan semula (EPS) tambahan selama dua tahun bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang telah tamat tempoh kelayakan EPS dan EPS khas, menjadikan tempoh keseluruhan EPS tambahan ini kepada lima tahun.

 

"Langkah ini adalah antara cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) yang telah dipertimbangkan untuk Bajet 2022. Maka, kerajaan akan terus meneliti cadangan seumpamanya bagi menambah baik kelancaran urusan perniagaan demi memacu pelaburan.

 

"Dalam melahirkan lebih ramai PMKS Halal yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa, RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS," katanya. - DagangNews.com