KUALA LUMPUR 1 Julai – Dana yang diperuntukkan kerajaan melalui kempen e-dagang sebanyak RM70 juta kepada Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMPKS) diagih secara sistematik sekali gus menolak dakwaan bahawa perkara tersebut membunuh industri tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, dakwaan sesetangah pihak yang mengatakan ketidakadilan kepada industri tempatan itu hanyalah disebabkan salah faham yang berlaku.
“Anda perlu faham. Dana RM70 juta ini bukan kita bagi kepada platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Grab, Foodpanda dan sebagainya. Tetapi dana tersebut kita belanjakan khusus kepada PMPKS yang ingin pasarkan produk mereka dalam platform e-dagang.
“Platform e-dagang tidak menerima apa-apa peratusan daripada RM70 juta tersebut, sebaliknya mereka juga menjadi penyumbang bersama bagi membantu perniagaan tempatan untuk meluaskan lagi capaian pasaran mereka,” katanya ketika dihubungi DagangNews di sini hari ini.
Terdahulu, portal berita perniagaan DagangNews.com melaporkan lima syarikat multinasional iaitu Lazada, Shopee, Grab, Zalora dan Foodpanda dipilih sebagai antara penerima dana Kempen E-Dagang Mikro & PKS sebanyak RM70 juta, dan Dana Penjana Shop Malaysia Online juga RM70 juta.
Lima lagi entiti merupakan syarikat tempatan iaitu Fashion Valet (terkenal dengan produk tudung Duck), Boost, MyFave, Touch N Go dan Maybank, yang baru melancar portal e-dagang semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Jelas Surina lagi, masyarakat perlu jelas dengan istilah penyumbang bersama (co-funding) agar tidak terkeliru dan menganggap platform e-dagang adalah penerima kepada dana tersebut.
“Bila kita cakap penyumbang bersama, maksudnya perkara ini adalah hasil sumbangan kerajaan dan platform e-dagang. Contohnya, jika seorang peniaga PMPKS ingin pasarkan produk makanan mereka dalam Foodpanda dan memerlukan kos keseluruhan sebanyak RM1,000. Jadi, kerajaan perlu bantu membayar RM500 dan Foodpanda (platform e-dagang) perlu bayar RM500. Itulah yang dimaksudkan dengan penyumbang bersama untuk membantu PMPKS kita.
“Dalam ringkasan buku PENJANA sendiri sudah dinyatakan bahawa platform e-dagang yang terlibat perlu menyediakan latihan onboarding, subsidi jualan serta khidmat sokongan jualan seperti pemasaran digital dan sebagainya. Sebenarnya kos ini perlu ditanggung PMPKS. Tetapi kerajaan akan bantu mereka dan platform e-dagang ini juga akan bantu mereka sehingga mereka dapat pasarkan produk. Kita bukan hanya bagi duit, malah kita bagi kupon dan baucer untuk mereka jalankan kaedah pemasaran dan sebagainya” katanya.
Ditanya sama ada penglibatan 10 syarikat e-dagang terbabit akan ditambah atau sebaliknya, Surina memberitahu, platform e-dagang akan ditambah berdasarkan persetujuan yang dicapai melalui perbincangan yang dibuat dari semasa ke semasa.
“Bukan kita nak ambil dan kekalkan 10 syarikat itu sahaja. Tapi kita pilih mereka adalah disebabkan mereka antara yang terawal membuat permohonan seperti menghantar kertas kerja dan sebagainya. Ini bermakna mereka yang hadir ke hadapan untuk menjadi penyumbang bersama pihak kerajaan dan mereka juga antara platform e-dagang yang agak stabil dari segi kewangannya.
“Dan kita akui masih banyak platform e-dagang yang kecil-kecil diluar sana, kita sedang jalankan perbincangan dan kita akan pilih yang mana sesuai dan dapat bagi manfaat kepada PMPKS,” ujarnya. - DagangNews.com