Dana 'Principal Islamic Asia Pacific Dynamic Income & Growth' sasar peluang pelaburan kukuh | DagangNews Skip to main content

Dana 'Principal Islamic Asia Pacific Dynamic Income & Growth' sasar peluang pelaburan kukuh

Principal Asset Management Berhad (Principal)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Dana patuh syariah, Principal Islamic Asia Pacific Dynamic Income & Growth (Dana) yang dilancarkan Principal Asset Management Berhad (Principal) pada 2 Februari baru-baru ini bertujuan memberi pulangan suku tahunan dengan menyasarkan peluang pelaburan yang kukuh di rantau Asia Pasifik tanpa Jepun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principle Asset Management, Munirah Khairuddin berkata, dana tersebut menawarkan  peluang pelaburan jangka masa sederhana hingga panjang yang dapat mengambil kesempatan daripada potensi kukuh rantau tersebut.

 

"Rantau Asia Pasifik menawarkan nilai pertumbuhan dan kepelbagaian yang menarik untuk portfolio pelaburan. 

 

"Sebagai salah satu pengurus aset patuh syariah terbesar di dunia, Principal sentiasa mengikut rapat sentimen dan selera pelabur kami untuk mara ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Munirah Khairuddin
Munirah Khairuddin

 

Melalui Dana ini, pelanggan akan melabur ke dalam ekuiti yang menawarkan purata dividen atau potensi pertumbuhan yang lebih tinggi apabila dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang lain di Asia Pasifik, tidak termasuk Jepun. 

 

Dengan strategi pulangan total dan penanda aras tidak terkawal, Dana memberi peluang pelaburan yang lebih luas.

 

Direka sebagai Feeder Fund patuh syariah, Dana ini akan melabur dalam dana sasaran, iaitu Dana Asia Pasifik Islam Dynamic Income and Growth Fund yang mana didaftarkan di Dublin, Ireland di bawah platform Undertaking for Collective Investment in Transferable Securities (UCITS) Principal Islamic Asset Management.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic Asset Management berkata, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, penyelesaian patuh syariah kini berada di persimpangan yang unik dimana kita sedang menyaksikan ketahanan dan peluang pertumbuhan yang berterusan lalu diterjemahkan kepada tinjauan dan prospek yang optimistik dan kukuh.

 

Syed Mashafuddin Syed Badarudin
Syed Mashafuddin Syed Badarudin

 

"Dengan peningkatan permintaan untuk penyelesaian berorientasikan hasil patuh syariah, berserta dengan nilai-nilai “ESG” dan mengharungi ketidakstabilan pasaran, ianya satu masa yang mengujakan ketika kami berkongsi strategi kami yang memberi tumpuan pada kualiti dan pengurusan risiko. 

 

"Kami percaya dengan kepakaran dan kebolehan kami, dan sebagai peneraju dalam pengurusan aset islamik, pelabur juga bakal mendapatkan manfaat," katanya lagi.

 

Dana itu juga menyasarkan untuk mencapai potensi penjanaan pulangan pelaburan yang positif dalam jangka masa tiga tahun.

 

Dengan pasukan pengurusan pelaburan berkemampuan tinggi dengan pengalaman di peringkat global, Dana ini ditubuhkan dengan struktur kelas-pelbagai dengan tiga kelas saham iaitu Kelas MYR, Kelas SGD, dan Kelas USD dengan harga tawaran awal MYR 0.2500, SGD 0.2500 dan USD 0.2500 seunit.

 

Selain itu, dana tersebut juga akan melabur ke dalam rantau Asia Pasifik yang mempunyai penduduk kelas pertengahan yang terbesar di dunia, sekali gus memberikan kestabilan kepada ekonominya untuk terus berkembang. 

 

Rantau berkenaan juga terus disokong oleh ekonomi domestik yang besar serta ekonomi berteraskan teknologi yang menyediakan peluang tambahan untuk pelaburan modal dan penggunaan daripada kebanyakan ekonomi-ekonomi yang lebih maju hasil daripada kadar perbandaran dan perindustrian yang pesat. - DagangNews.com