Dana RM100 juta diperuntukkan: KPKT, KPLB gerakkan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dana RM100 juta diperuntukkan: KPKT, KPLB gerakkan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diperuntukkan sebanyak RM100 juta iaitu masing-masing RM50 juta bagi pelaksanaan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir.

 

Kedua-dua kementerian memperuntukkan kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 bagi proses baik pulih rumah dan RM56,000 bagi kos bina baru rumah.

 

Tanggungjawab bersama tersebut dilaksanakan secara bersepadu di mana KPKT akan bertanggungjawab bagi rumah-rumah (kategori bandar) di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala KLPB pula bertanggungjawab bagi rumah-rumah (kategori luar bandar) di luar kawasan pentadbiran PBT.

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak 8,257 rumah di bawah seliaan KPKT dikenal pasti terjejas akibat banjir setakat ini dan daripada jumlah itu, 118 buah bagi proses pembinaan baru, manakala 8,139 dibaik pulih. 

 

Jelasnya, angka tersebut bersifat dinamik dan dijangka akan bertambah memandangkan masih ada negeri yang masih dilanda banjir. 

kpkt

"Data-data ini sedang dimuktamadkan oleh pihak kerajaan negeri dan akan dikemukakan kepada KPLB dan KPKT dari semasa ke semasa. 

 

"Pelaksanaan inisiatif tersebut di peringkat KPKT akan dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), selain Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri melalui kontraktor yang dilantik.

 

"Sehingga hari ini, anggaran awal kos yang terlibat di peringkat KPKT adalah sebanyak RM83.4 juta di mana SPNB akan membina baharu manakala PR1MA akan melakukan kerja-kerja baik pulih," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Reezal Merican, cadangan reka bentuk rumah mengguna pakai model JKR iaitu Rumah Kekal Banjir Atas Tiang dan Rumah Kekal Banjir Atas Tanah dengan keluasan 660 kaki persegi menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

 

Beliau memberi jaminan bahawa usaha ini akan dilaksanakan dengan segera dan disusuli dengan pemurniaan data yang melibatkan proses pemeriksaan, penilaian dan verifikasi kelayakan sebelum proses pembinaan dapat dilaksanakan. 

 

"KPKT memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan keresahan rakyat yang kehilangan tempat tinggal atau kediaman mereka mengalami kerosakan akibat banjir dapat segera dirawat agar mereka dapat memulakan  kehidupan harian seperti sebelum ini. Ini adalah selari dengan Agenda dan Fokus KPKT iaitu 'Liveable Malaysia' atau Malaysia Berdaya Huni," katanya.

 

Inisiatif tersebut akan melibatkan peranan pelbagai pihak, antaranya Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta di peringkat negeri seperti PBT dan kerajaan negeri di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana banjir.

 

Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir Bagi Tujuan Baik Pulih dan Bina Semula Rumah telah dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Nor Azman Taib  pada Khamis lepas dan telah membincangkan usaha bersepadu tersebut bagi tujuan untuk memurnikan dan mengumpulkan data mangsa yang terkesan, memperincikan proses pelaksanaan dan mendapatkan komitmen semua pihak terlibat agar tiada mangsa yang ketinggalan daripada inisiatif ini.

 

Pelaksanaan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia adalah meliputi tiga fasa iaitu, fasa satu melibatkan kerja pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) dijalankan di peringkat daerah. 

 

Penyelarasan data di peringkat negeri dijalankan oleh kerajaan negeri dan maklumat rakyat yang terkesan akan dikumpulkan oleh ICU, JPM sebagai pusat data utama mangsa banjir.

 

Fasa kedua, melibatkan pelaksana dan agensi penilai iaitu KPKT, KPLB, JKR dan kerajaan negeri dalam pemeriksaan, penilaian dan verifikasi data-data yang telah dikumpulkan dan fasa ketiga pula, adalah kerja-kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudiannya akan dilaporkan semula kepada ICU, JPM selaku Pusat Data Utama Mangsa Banjir. - DagangNews.com