Daniel Lim Hin Soon dilantik sebagai CEO Naza TTDI | DagangNews Skip to main content

Daniel Lim Hin Soon dilantik sebagai CEO Naza TTDI

Daniel Lim Hin Soon

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Anak syarikat hartanah Kumpulan Naza, Naza TTDI Sdn. Bhd. melantik Daniel Lim Hin Soon sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, Hin Soon bertanggungjawab ke atas pembangunan strategik dan hala tuju bagi perniagaan hartanah dan memacu pertumbuhan positif Kumpulan Naza.

“Pelantikan Hin Soon adalah tepat pada waktunya bagi mengembangkan perniagaan hartanah kami.

“Kami mempunyai misi yang jitu untuk mengorak strategi pembangunan syarikat dan pengalaman Hin Soon dalam industri ini akan menjadi aset terbaik bagi dimanfaatkan dalam pasaran yang sering berubah dan mewujudkan visi perniagaan yang berjangka masa panjang,” kata SM Faliq dalam satu kenyataan hari ini.

Hin Soon memiliki 28 tahun pengalaman dalam mengendalikan pembangunan hartanah ketika memegang beberapa jawatan eksekutif kanan di pelbagai syarikat pembangunan industri tersebut.

Kali terakhir, Hin Soon berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Kanan Sunway Integrated Properties Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Kumpulan Sunway.

Hin Soon memegang sijil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Sivil) Kelas Pertama dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Singapura.

Sementara itu, Naza TTDI merupakan salah satu pemain industri hartanah utama yang telah membangunkan beberapa perniagaan dan perumahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara projek yang dikendalikan adalah perbandaran Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, Platinum Park dan pusat pameran terbesar di Malaysia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). – DagangNews.com