Danny Leong letak jawatan CEO Revenue Group tetapi kekal sebagai penasihat | DagangNews Skip to main content

Danny Leong letak jawatan CEO Revenue Group tetapi kekal sebagai penasihat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Danny Leong Kah Chern telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Revenue Group Berhad, selepas memegang jawatan itu kira-kira lima bulan.

 

Beliau akan terus berkhidmat kepada kumpulan itu sebagai penasihat berkuat kuasa 24 Mei 2023. 

 

Kah Chern telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Mac, tetapi kumpulan itu mengumumkan pada masa itu bahawa lembaga pengarah memintanya untuk mempertimbangkan semula keputusan itu.

 

Kah Chern juga adalah bekas CEO Cuscapi Berhad dan GHL Systems Berhad.

 

Revenue Group menjadi tumpuan sejak beberapa bulan lalu selepas kumpulan itu memfailkan saman terhadap pengasas bersama kumpulan itu Brian Ng Shih Chiow dan adiknya Dino Ng Shih Fang.

 

danny
Danny Leong Kah Chern

 

 

Pelantikan Kah Chern ke lembaga pengarah Revenue Group adalah selepas penggantungan adik-berakdik Ng daripada lembaga pengarah pada Januari lalu.

 

Selain Kah Chern, Revenue Group juga telah melantik tiga lagi pengarah, iaitu Ooi Guan Hoe (pengarah eksekutif), Tham Sai Cheong (pengarah bebas dan bukan eksekutif) dan Leong Seong Wui (pengarah eksekutif).

 

Selepas itu, pada Mac, kumpulan melantik enam pengarah baharu selepas lapan pengarah meletak jawatan.

 

Sementara itu, Brian dan Dino turut meletak jawatan sebagai pengarah kumpulan itu, bersama pengarah urusan Ng Chee Siong dan lima yang lain.

 

Pada April, pengerusi eksekutif kumpulan itu, Nor Azzam Abdul Jalil meletakkan jawatan, manakala Kamari Zaman Juhari ditetapkan semula jawatan kepada pengerusi bukan eksekutif, daripada pengarah bebas bukan eksekutif. - DagangNews.com