Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Penjawat awam disaran perlu kekal fokus kepada tugas masing-masing dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
Saranan itu dibuat susulan langkah kerajaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.
"Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.
"Sektor ekonomi masih lagi berlangsung seperti biasa berdasarkan ketetapan perintah kawalan pergerakan di kawasan masing-masing.
"Justeru itu perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, beliau memberitahu, langkah kerajaan mengisytiharkan Proklamasi Darurat perlu disambut baik oleh semua pihak dengan meletakkan rakyat sebagai titik persamaan untuk menolak sebarang perbezaan pendapat ketika waktu-waktu sukar ini.
Dalam situasi itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam serta masyarakat amnya tidak menyebarkan berita-berita palsu yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam serta menyukarkan pihak berkuasa melaksanakan tugas kawalan pandemik COVID-19.
Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis-premis kerajaan.
Hal ini kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk berdasarkan SOP perintah kawalan pergerakan di kawasan masing-masing.
"Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.
"Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan keresahan rakyat. Jadikan tempoh perintah darurat ini sebagai waktu untuk memberi khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ekoran daripada pandemik COVID-19 ini," tambah beliau lagi. - DagangNews.com