Dasar dan inisiatif kerajaan berjaya tarik FDI, semarakkan ekonomi Malaysia, kata peserta industri | DagangNews Skip to main content

Dasar dan inisiatif kerajaan berjaya tarik FDI, semarakkan ekonomi Malaysia, kata peserta industri

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pembaharuan kerajaan dan inisiatif strategik dalam pelaburan langsung asing (FDI) merupakan faktor penyumbang kepada persekitaran ekonomi positif Malaysia.

 

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata, pengekalan kadar faedah pada 3% oleh Bank Negara Malaysia juga merupakan faktor penting dalam perkembangan ekonomi itu. 

 

Beliau berkata, semua faktor itu berjaya mewujudkan suasana penggalak yang berperanan penting dalam memupuk pertumbuhan ekonomi. 

 

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan ekonomi negara sebanyak 5.8% pada suku kedua 2024 (S2 2024), pada Sabtu lepas.

 

Di samping itu, Chin berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menggariskan pemulihan ekonomi teguh berbanding 2023. 

 

“Pertumbuhan dalam sektor ini meningkatkan keyakinan pelabur asing.

 

“Bagi sektor perkhidmatan, pertumbuhan ini mungkin didorong oleh musim cuti Hari Raya dan peningkatan kemasukan pelancong dari China dan India di Malaysia.

 

"Ramai usahawan tempatan terkejut dengan pemulihan ini, yang telah melepasi jangkaan, terutamanya memandangkan ramai peruncit mengalami perolehan rendah dan kurang permintaan pada suku kedua," katanya.

 

Selain itu, Chin menyatakan pertumbuhan itu didorong oleh dasar kerajaan berkesan di bawah rangka kerja ekonomi Madani dan peningkatan ketara dalam permintaan dalam negeri.

 

Beliau juga memetik ramalan prospek optimis oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi separuh kedua tahun ini.

 

“Sekiranya trend pertumbuhan ini kekal melalui sokongan FDI strategik dan usaha Kerajaan berterusan, Malaysia akan mencapai peningkatan KDNK sebanyak 5% bagi sepanjang tahun 2024.

 

“Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati kerana perniagaan tempatan masih menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kos hidup tinggi dan potensi pemotongan subsidi petrol yang nampaknya akan dilaksana pada tahun ini,” katanya.

 

Chin menegaskan kerajaan perlu mengimbangi keyakinannya melalui sokongan berterusan dalam sektor perniagaan.

 

Beliau berkata, ia penting dalam pertumbuhan ekonomi negara mampan dan inklusif. 

 

“Usaha kerajaan menangani cabaran berterusan dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) penting untuk mengekalkan momentum dan menyokong kemakmuran jangka panjang.” ulasnya. 

 

Bendahari Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Koong Lin Loong berkata, sebahagian besar daripada pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8% itu disumbang oleh FDI.

 

Beliau berkata, pertumbuhan itu disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan berikutan kemasukan FDI, terutamanya selepas lawatan Perdana Menteri ke China pada Mac tahun lepas.

 

Ditanya tentang kebangkitan Malaysia di Asia Tenggara dalam persaingan  ekonomi di Indonesia dan Vietnam, Koong berkata, Malaysia mempunyai ekosistem perniagaan mesra kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

 

"Oleh itu, ada harapan tinggi dalam peningkatan pertumbuhan di negara ini, menjadi industri satelit dalam rantaian bekalan," kata Koong.

 

Pakar politik Dr Mohar Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, pengumuman Perdana Menteri akan meluruskan rekod ekonomi negara.

 


Beliau berkata, ia bertujuan untuk menghapuskan anggapan salah dan maklumat palsu tentang kesihatan ekonomi kita.

 

“Pengumuman itu juga bertujuan untuk menanam keyakinan kepada pelabur.

 

“Pertumbuhan ekonomi yang stabil juga akan membantu menangani kebimbangan rakyat dalam jangka panjang.

 

"Apa yang penting ialah Perdana Menteri mengumumkan negara bahawa ekonomi kita berada di landasan yang betul, dan ia akan memeri keyakinan kepada rakyat," kata Mohar.

 

Pada hari Jumaat, DOSM menganggarkan ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.8% pada Q2 2024, meningkat daripada 4.2% pada suku sebelumnya dan merupakan angka tertinggi sejak Q4 2022 sebanyak 7.4%.

 

Bagi separuh pertama 2024, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5%, sebanyak 4.1% kenaikan berbanding 2023.

 

DOSM berkata, pertumbuhan ekonomi itu dirangsang oleh penambahbaikan dalam semua sektor pada suku tersebut, khususnya sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

 

“Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan didorong oleh eksport, dengan prospek positif sepanjang baki tahun ini,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

Beliau berkata, sektor perkhidmatan memacu prestasi ekonomi bagi suku itu, dengan kebanyakan sektor utama menunjukkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

 

Ia berkembang sebanyak 5.6%, didorong oleh pertumbuhan dalam perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta kewangan dan insurans.

 

Sektor pembuatan pula berkembang sebanyak 4.7%, disokong oleh produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi, petroleum, kimia, getah dan produk plastik, serta peralatan pengangkutan.

 

Di samping itu, sektor pertanian meningkat sebanyak 7.1%, sebahagian besarnya disebabkan oleh subsektor kelapa sawit dan ternakan.

 

Selain itu, sektor perlombongan dan kuari meningkat 3.3%, pengeluaran gas asli yang lebih tinggi sebagai sumbangan penting.

 

Sementara itu, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan paling kukuh pada 17.2%, dengan prestasi positif merentas semua subsektor, terutamanya dalam aktiviti kejuruteraan awam dan pembinaan khusus.- DagangNews.com