Data dan inovasi dorong pertumbuhan ekonomi Sarawak semasa COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Data dan inovasi dorong pertumbuhan ekonomi Sarawak semasa COVID-19

Abang Johari (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran IDECS 2020 di Kuching, Sarawak hari ini. Foto oleh Sarawak Public Communications Unit (Ukas).

Abang Johari (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran IDECS 2020 di Kuching, Sarawak hari ini. Foto oleh Sarawak Public Communications Unit (Ukas).

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Pertumbuhan ekonomi Sarawak semasa penularan wabak COVID-19 didorong oleh penyediaan data dan inovasi seperti ekonomi digital bagi mencapai Agenda Ekonomi negeri 2030.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022) telah dilancarkan oleh beliau pada Disember 2017.

"Strategi ini menyaksikan kemajuan dalam digitalisasi ekonomi kita selain mampu mendepani sebagian besar masalah yang timbul akibat COVID-19.

"Dengan apa-apa strategi sekali pun, aspek tertentu seperti keunggulan digital, kemampuan sistem, kemudahan perniagaan, keselamatan siber, persediaan digital dan sokongan transformasi digital sektor swasta yang dapat diperkukuhkan lagi untuk mencapai Agenda Ekonomi selepas COVID-19," katanya pada majlis pelancaran Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020 hari ini.

Lapor DayakDaily lagi, pada 2017, kerajaan negeri telah menubuhkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) di bawah Sarawak Multimedia Authority Ordinance 2017 yang merupakan sebuah badan pentadbiran dan pengurusan dasar komunikasi dan multimedia bagi memimpin Agenda Ekonomi Digital Negeri.


SMA juga turut bertanggungjawab untuk penstrukturan digital, pengurusan data dan keselamatan siber.

Tambah Abang Johari, tiga agensi utama turut dilantik dalam ekosistem Ekonomi Digital Sarawak yang akan bertanggungjawab dalam pelaksanaan strategi ekonomi digital.

"Perbadanan ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah diamanahkan untuk memimpin pelaksanaan inisiatif ekonomi digital Sarawak dengan mengfokuskan kepada sektor swasta.

"Sementara Sistem Maklumat Sarawak (Sains) pula diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan.

"Manakala Pusat Kecemerlangan Teknikal, Centexs pula diberi kepercayaan untuk menyediakan latihan dan kemahiran yang berkaitan dengan industri dalam sains digital dan data dengan mengfokuskan kepada pelajarlepasan sekolah, graduan dan pekerja industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja ekonomi digital," jelasnya.

Kerajaan Sarawak turut merangka strategi lain dengan melancarkan menara telekomunikasi SMA300.

Sebanyak 184 menara telah berjaya dibina dan 116 lagi dijangka siap pada suku ketiga tahun 2021. 

Hasil pembinaan menara berkenaan, masyarakat luar bandar boleh menikmati perkhidmatan internet 3G atau 4G berbanding perkhidmatan Edge sebelumnya.

Sarawak juga memperkenalkan jaringan Wi-Fi percuma kepada beberapa perkampungan dan rumah panjang bagi mempercepat penyambungan internet kepada masyarakat luar bandar.

Melalui inisiatif tersebut, setiap perkampungan akan dibekalkan jalur lebar 30Mbps, dan setakat ini 20 kampung dan rumah panjang telah disambungkan secara digital untuk mengakses internet dan perkhidmatan kerajaan seperti Sarawak Pay.

Pemasangan stesen satelit (VSAT) juga turut dijalankan sebagai kaedah terbaik bagi penyelesaian penyambungan internet di kawasan luar bandar.- DagangNews.com