Oleh ZUNAINAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Dis - Dataprep Holdings Bhd. (Dataprep) menerusi anak syarikatnya, Dataprep Asia Sdn. Bhd. dilantik sebagai rakan kerjasama penyampaian projek bagi penyumberan luar bersepadu ujian molekul pantas COVID-19.
Ia menerima surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan percubaan ujian RT-PCR saringan COVID-19 di bawah jenama MiCo BioMed, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ujian tersebut akan dilaksanakan secara khusus di pintu masuk utama antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Tambak Johor.
Penggunaan Ujian Molekul Pantas RT-PCR Saringan COVID-19 di tapak KKM sedia ada, hendaklah meliputi pendaftaran, pensampelan dan ujian sehingga keputusan ujian dikeluarkan.
Pengarah Urusan Kumpulan Dataprep, Mohamad Sabir Mohamad Sabri berkata, inisiatif tersebut adalah sejajar dengan rancangan kerajaan untuk membuka sempadan negara kepada pengembara asing dalam usaha menghidupkan semula sektor pelancongan, peruncitan dan konvensyen antarabangsa.
Katanya, kumpulan bersedia untuk menyokong kerajaan dalam proses pembukaan semula sempadan negara dan yakin ia boleh dilaksanakan dengan efisien dan selamat.
"Tanpa sebarang perkara tidak dijangka, penempatan MiCo BioMed ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan seterusnya," katanya. -DagangNews.com