Datasonic catat pendapatan tertinggi pada FY24 sebanyak RM368.3 juta dipacu permintaan pasport kukuh, kecekapan kos operasi | DagangNews Skip to main content

Datasonic catat pendapatan tertinggi pada FY24 sebanyak RM368.3 juta dipacu permintaan pasport kukuh, kecekapan kos operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Datasonic Group Berhad mencatatkan pendapatan tertinggi sepanjang masa pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) sebanyak RM368.3 juta, peningkatan sebanyak 6.8% dipacu permintaan kukuh untuk pasport, kad pengenalan, perkhidmatan peribadi kad kewangan serta kecekapan kos operasi.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM92.3 juta, lonjakan sebanyak 20.8% berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24), kumpulan itu  mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 10.3% kepada RM115.7 juta berbanding RM104.9 juta bagi suku sama tahun lalu manakala untung bersih bagi suku berkenaan melonjak lebih 70% kepada RM38.6 juta mengatasi RM22.7 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, pihaknya gembira kerana dapat memberikan hasil tertinggi sepanjang masa untuk FY24 dan prestasi cemerlang pada 4QFY24. 

 

Beliau berkata, prospek kumpulan diunjur cerag disebabkan permintaan tinggi untuk pasport, kad pengenalan, dan perkhidmatan peribadi untuk kad kewangan. 

 

"Kami mengharapkan peningkatan dalam pesanan pintu automatik dengan sistem pengenalan wajah untuk pelawat asing, dan penjanaan pendapatan baharu daripada segmen pekerja asing dan perniagaan lain yang berkaitan dengan kekuatan kami.

 

"Walaupun permintaan berterusan untuk pasport dan kad pengenalan mengikut pembukaan semula sempadan sejak April 2022, kami telah berjaya memberikan pasport dan kad pengenalan yang mencukupi tepat pada masanya tanpa mengorbankan kualiti dan keselamatan

 

"Pasport Malaysia yang memenangi anugerah, diiktiraf sebagai Dokumen Pengenalan Diri Wilayah Terbaik 2018 oleh Reconnaissance High Security Printing semasa Persidangan Asia Global di Hanoi, diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia dari segi reka bentuk, kualiti, dan ciri-ciri keselamatan, mengatasi banyak negara maju hingga kini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tengku Abu Bakar berkata,  pihaknya berbesar hati untuk berkongsi bahawa kumpulan telah menyempurnakan projek pasport elektronik pertama kami di sebuah negara Afrika Barat pada Mei 2024.

 

"Kami berjanji untuk mengejar peluang perniagaan baharu dengan kekuatan yang dimiliki di peringkat tempatan dan global untuk pertumbuhan serta keuntungan yang mampan," katanya.

 

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.3 sen setiap saham, membawa jumlah dividen setiap saham bagi FY24 kepada 3.0 sen. 

 

Nisbah pembayaran dividen berada pada 91.1% berdasarkan keuntungan bersih FY24 sebanyak RM92.3 juta dan kumpulan itu secara konsisten telah membayar dividen setiap suku tahun sejak disenaraikan pada 2012. - DagangNews.com