Datasonic ikrar bebas rasuah bagi tingkatkan nilai integriti, lahirkan modal insan lebih bertanggungjawab | DagangNews Skip to main content

Datasonic ikrar bebas rasuah bagi tingkatkan nilai integriti, lahirkan modal insan lebih bertanggungjawab

Seramai 34 orang terdiri daripada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Datasonic melafazkan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad bin Tengku Tan Sri Abdullah di ibu negara pada 18 Oktober 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kumpulan Syarikat Datasonic hari ini memaktubkan komitmen dan sokongannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa menerusi Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bertempat di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC). 

 

Ikrar Bebas Rasuah itu diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Datasonic Group Berhad, Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad bin Tengku Tan Sri Abdullah, dan disaksikan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi. 

 

Majlis IBR bersempena inisiatif diperkenalkan oleh SPRM itu diadakan bertujuan memberi penekanan kepada barisan kepimpinan dan kakitangan Datasonic dalam memastikan setiap individu dapat meningkatkan integriti dan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta menjauhi sebarang gejala rasuah sepanjang memegang jawatan di Datasonic.

 

Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad berkata, Ikrar Bebas Rasuah pada hari ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan lagi nilai-nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab dan amanah dalam pelbagai aspek pelaksanaan tugas. 

 

"Ia juga menunjukkan komitmen pihak pengurusan Datasonic untuk menjadi sebuah organisasi yang telus yang mana ia akan meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap kualiti dan perkhidmatan yang diberikan.

 

“Saya amat berharap agar lafaz ikrar ini bukan sekadar memenuhi seruan untuk membanteras gejala rasuah tetapi juga sebagai pemangkin yang dapat meningkatkan lagi motivasi semua warga kerja untuk melaksanakan tugas dan seterusnya memberi nilai tambah kepada organisasi dan pihak pengurusan Datasonic," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

datasonic

 

 

datasonic

 

 

Majlis tersebut disertai oleh 34 orang terdiri daripada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Datasonic serta empat pegawai SPRM. - DagangNews.com