KUALA LUMPUR 8 Nov - Datasonic Group Bhd. mampu memperoleh lebih banyak kontrak akan datang terutamanya membabitkan projek kerajaan berdasarkan kepada keupayaannya dalam penyelesaian dokumen pengenalan diri (ID).
Menurut MIDF Research, dengan kelebihan yang dimilikinya, kumpulan dilihat menjadi calon paling layak untuk memperoleh kontrak generasi baharu MyKad.
"Selain itu, kami juga optimis Datasonic mampu meraih kontrak utama seperti Digital MyKad, National Digital ID (e-KYC) dan Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
"Di sebalik tekanan inflasi dan krisis cip yang masih berterusan, kami tetap yakin bahawa prospek kekal meyakinkan buat Datasonic," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Datasonic dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada 57 sen.
Baca : Datasonic raih kontrak KDN bekalkan kad pekerja asing bernilai RM140 juta
Semalam, Datasonic mengumumkan meraih satu lagi kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan kad pekerja asing dengan nilai kontrak sebanyak RM140 juta.
Kontrak itu akan berjalan untuk tempoh 36 bulan bermula dari 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2025.
MIDF Research berkata, perolehan kontrak itu adalah di dalam jangkaannya berikutan kelebihan Datasonic dalam ruang ID dengan rekod prestasi yang terbukti berbanding pemain industri lain.
Tambahan pula, kumpulan telah terbabit dalam projek MyKad sejak tahun 2000 dan menjadi penyedia utama sejak 2012 selepas ia mula membekalkan MyKad, cip dan sistem pengendalian (OS).
"Dengan mempertimbangkan semua faktor, kami juga yakin permintaan terpendam untuk dokumen perjalanan termasuk peroleh kontrak i-Kad baru-baru ini akan memberikan keterlihatan yang lebih besar kepada pendapatan kumpulan," jelasnya.
Setakat 9.08 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.99% kepada 51 sen dengan 1.1 juta saham diniagakan. - DagangNews.com