Dato' Sri Abdul Farid Alias tidak berhasrat perbaharui kontrak sebagai GPCEO Maybank | DagangNews Skip to main content

Dato' Sri Abdul Farid Alias tidak berhasrat perbaharui kontrak sebagai GPCEO Maybank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Maybank hari ini mengumumkan bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Dato' Sri Abdul Farid Alias ​​telah menyatakan hasrat untuk tidak memperbaharui kontranya sebagai GPCEO Maybank, yang akan tamat pada 1 Ogos 2022. 

 

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, Maybank memberitahu Abdul Farid, yang telah memegang jawatan sebagai GPCEO Maybank sejak 2 Ogos 2013, telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah Kumpulan bahawa beliau ingin meneruskan kepentingannya sendiri berikutan tamatnya penggal ketiganya sebagai GPCEO.

 

Katanya, proses untuk mengenal pasti GPCEO Maybank yang baharu telah bermula dan sedang dijalankan, diketuai oleh Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga. 

 

“Lembaga Pengarah kini sedang menjalankan proses semakan dan penilaian yang mantap untuk mengenal pasti pengganti yang sesuai, termasuk menilai calon dalaman dan luaran. 

 

"Pelantikan baharu akan diumumkan setelah kami menyerahkan dan mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk pelantikan itu,” kata Pengerusi Maybank Tan Sri Dato' Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

 

Bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar, Tan Sri Zamzamzairani berkata Abdul Farid akan terus menyelia pengurusan dan operasi Maybank sehingga penggantinya menyandang jawatan itu. 

 

“Walaupun kami kecewa kerana beliau telah memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya, Lembaga Pengarah menghormati keputusannya dan bagi pihak Kumpulan, saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan, perkhidmatan dan komitmen beliau yang luar biasa dalam membina organisasi yang berpandangan ke hadapan yang telah mendahului kebanyakan rakan serantaunya, terutamanya dalam bidang digital dan kemampanan,” katanya. 

 

Abdul Farid, 52, memulakan kerjaya perbankannya di Aseambankers, anak syarikat dalam Kumpulan Maybank pada Januari 1992 sebelum meluaskan pengalamannya dengan Schroders, Malaysia International Merchant Bankers, JP Morgan dan Khazanah Nasional Berhad. 

 

Beliau menyertai semula Maybank pada Januari 2009, memegang beberapa jawatan perniagaan utama termasuk sebagai Ketua Perniagaan Antarabangsa dan Timbalan Presiden dan Ketua, Perbankan Global sebelum pelantikannya sebagai GPCEO.  -DagangNews.com