Dato' Undang Luak Johol diumum sebagai Pengerusi baharu HB Global  | DagangNews Skip to main content

Dato' Undang Luak Johol diumum sebagai Pengerusi baharu HB Global 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Julai - HB Global Limited yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia mengumumkan pelantikan Dato' Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Muhammad Abdullah, sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif yang baharu.

 

Syarikat turut mengumumkan pelantikan Chin Nyat Fwu dan Elizabbeth Siew sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

 

HB Global Limited adalah syarikat pemegangan pelaburan Singapura yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 17 Disember 2020.

 

 

Dalam kenyataan hari ini, HB Global berkata, Dato’ Muhammad berkhidmat sebagai Undang Luak Johol di mana beliau memikul tanggungjawab penting termasuk menyelia hal ehwal adat seperti pengurusan tanah, undang-undang adat, dan upacara adat, di samping mengekalkan warisan budaya dan amalan masyarakat Luak Johol di Negeri Sembilan.

 

Beliau membawa bersamanya perspektif yang pelbagai kepada Lembaga Pengarah, dengan pengalaman dalam industri pendidikan dan perkhidmatan kewangan. Beliau juga menunjukkan kepintaran perniagaan dan kepimpinan melalui jawatan Pengarah dan Pengerusi di beberapa syarikat.

 

 

parafrasa

 

"Dato’ Muhammad terkenal dengan dedikasinya terhadap perkhidmatan awam. Beliau merupakan pengasas Yayasan Undang Johol, sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan penduduk di Luak Johol.

 

"Selain itu, beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif kebajikan masyarakat, seperti berkhidmat sebagai Pengerusi Kebajikan Dato'-Dato' Adat Johol, Pengerusi Tahfiz Masjid Tanggai, Timbalan Pengerusi Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan, Penaung Pertubuhan Rakan Pembimbing dan Motivasi Al Ghoniah, Penaung Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Suku Mungkal Johol Negeri Sembilan, dan Penaung Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM). Beliau memiliki Diploma Perniagaan (Pengurusan Perniagaan Insurans) daripada Universiti Teknologi MARA," kata HB Global.

 

Pengerusi HB Global yang baru dilantik, Dato’ Muhammad berkata, “Saya berbesar hati dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Lebih penting lagi, saya teruja dengan rancangan strategik yang disediakan untuk memulihkan syarikat dan berharap untuk menyokong pasukan.

 

"Bersama-sama dengan para Pengarah Bebas yang baru dilantik, kami menyasarkan untuk membawa perspektif baharu dan tenaga baharu kepada Lembaga Pengarah, bekerja secara kolaboratif untuk membimbing HB Global ke arah masa depan yang lebih cerah,” kata beliau.

 

Pengarah Bebas yang baru dilantik, Chin mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman bekerja dalam bidang kewangan korporat, perakaunan perniagaan & percukaian.

 

Beliau kini merupakan Pengurus Besar Kanan di Selangor Holdings Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemegangan pelaburan, jawatan yang dipegangnya sejak 2014.

 

Sementara itu, Elizabbeth telah mengumpul dua dekad pengalaman undang-undang terutamanya dalam undang-undang komersial dan hartanah. Beliau berkhidmat sebagai Rakan Kongsi Urusan di Tetuan Iqbal Hakim, Sia & Voo selama 19 tahun. - DagangNews.com