Datuk Bazlan dilantik sebagai Pengarah Glomac | DagangNews Skip to main content

Datuk Bazlan dilantik sebagai Pengarah Glomac

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Glomac Berhad (Glomac) telah melantik Datuk Bazlan Osman sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kumpulan itu, berkuatkuasa 24 Julai lalu.

Glomac menerusi kenyataannya memberitahu, Bazlan, 56 mempunyai pengalaman kepimpinan dan pengurusan atasan yang luas.

Peranannya termasuklah melibatkan strategi, pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, operasi serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam pelbagai sektor terutamanya Teknologi, Media & Telekomunikasi (TMT).

“Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif di Telekom Malaysia Berhad (TM) sejak April 2008 hingga Februari 2019.

“Menjawat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM sejak Mei 2005 sehingga dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada April 2007,” jelas Glomac.

Bazlan ketika ini merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah Citibank Berhad, Frima Corporation Berhad dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif GITN Sdn. Bhd. dan Pengerusi Jawatankuasa Akauntan Profesional Dalam Perniagaan (PAIB).

Selain itu, beliau turut dilantik sebagai ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA), serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Malaysia.

Bazlan juga pernah berkhidmat di Celcom Malaysia Berhad sebagai Timbalan Presiden Kanan Kewangan Korporat dan Perbendaharaan pada 2001 sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 2002. - DagangNews.com