KUALA LUMPUR 26 Jun - MyHSR Corporation Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebagai pengerusi bukan eksekutif baharu syarikat itu berkuat kuasa 22 Jun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pihaknya yakin bahawa kepakaran yang tidak ternilai dan pengalaman luas Fauzi akan mengemudi mereka dalam merealisasikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
"Semasa kami memulakan bab baru ini untuk projek itu, sejarah kepimpinan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi beliau kepada pertumbuhan positif akan mengukuhkan kami dalam melaksanakan projek itu untuk kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Fauzi yang tidak asing lagi dalam industri rel Malaysia, pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) antara 2018 dan 2021, mahir dalam pembangunan dan cabaran dalam industri.
Beliau juga mempunyai kerjaya yang cemerlang dan memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 1997 dan 1999.
Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan antara 1990 dan 1999, kemudiannya sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota antara 2013 dan 2018.
Dengan kelayakan yang sempurna dalam bidang kejuruteraan dan telah berkhidmat di lembaga pengarah pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta, Fauzi akan memberi bimbingan dan sokongan strategik kepada lembaga pengarah.
Ia juga bagi memastikan MyHSR Corp memenuhi aspirasi Kerajaan Malaysia untuk menswastakan sepenuhnya projek HSR melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Fauzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kejuruteraan Perlombongan dari Kolej Sains dan Teknologi Imperial Universiti London, pernah berkhidmat sebagai jurutera di beberapa entiti swasta dan kerajaan pada awal kerjayanya.
Dia juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bagi Beserah. - DagangNews.com