Dayang diramal catat keputusan kewangan lebih baik pada 2QFY24 disokong peningkatan penggunaan, kadar sewa kapal | DagangNews Skip to main content

Dayang diramal catat keputusan kewangan lebih baik pada 2QFY24 disokong peningkatan penggunaan, kadar sewa kapal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Dayang Enterprise Holdings Bhd diramal catat keputusan kewangan yang lebih baik bagi 2QFY24 didorong peningkatan pesanan kerja, penggunaan kapal dan kadar sewa yang lebih tinggi.

 

Phillip Capital berkata, keuntungan kumpulan itu mungkin mencapai rekod tertinggi dan melebihi unjuran pendapatan RM247 juta konsensus untuk 2024.

 

Firma penyelidikan itu juga menaikkan unjuran pendapatannya bagi 2024-2026 sebanyak 12% hingga 23% menjelang pengumuman keputusan 2QFY24.

 

"Kami menjangkakan trajektori pertumbuhan pendapatan yang mampan untuk 2025-2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Lapan daripada sembilan firma penyelidikan yang membuat liputan terhadap Dayang mengekalkan saranan 'beli' termasuk Philip Capital dan hanya satu memberikan saranan 'jual'.

 

Harga sasaran (TP) 12 bulan konsensus ialah RM3.53, potensi pulangan sebanyak 42% daripada harga terakhirnya RM2.49.

 

Phillip Capital berkata, tahun ini, Dayang dijangka memperoleh untung bersih sebanyak RM275.4 juta atau 23.8 sen sesaham.

 

Kadar sewaan untuk Dayang mencatatkan peningkatan keseluruhan antara 5% hingga 7% pada 2024, kata firma penyelidikan itu. 

 

"Kesemua tujuh kapal Dayang telah beroperasi pada 2QFY24, berkemungkinan menghasilkan kadar penggunaan keseluruhan lebih daripada 90%, lebih tinggi berbanding 48% pada 1QFY24 dan 72% pada 2QFY23, katanya.

 

Sementara itu, Perdana Petroleum Bhd, anak syarikat 64% milik Dayang, juga dijangka melaporkan pendapatan lebih baik pada 2QFY24, didorong  penggunaan kapal dan kadar sewa yang lebih tinggi.

 

"Kadar penggunaan Perdana Petroleum dianggarkan antara 85% hingga 90% pada 2QFY24, berbanding 62% dalam 1QFY24 dan 69% pada 2QFY23, katanya.

 

Dayang juga dijangka boleh memberikan pendapatan suku ke suku yang lebih kukuh pada 3QFY24 apabila aktiviti pentauliahan penyelenggaraan dan sambungan meningkat, kata firma penyelidikan itu, sambil menambah bahawa kitaran naik sektor minyak dan gas semasa menawarkan banyak peluang kepada kumpulan itu. - DagangNews.com