Dayang diramal jadi penerima manfaat utama kitaran menaik perbelanjaan modal sektor minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

Dayang diramal jadi penerima manfaat utama kitaran menaik perbelanjaan modal sektor minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Dayang Enterprise Holdings Bhd diramal menjadi penerima manfaat utama daripada kitaran menaik perbelanjaan modal dalam sektor minyak dan gas (O&G) didorong rekod prestasi cemerlangnya ke atas pelanggan utamanya iaitu Petronas dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) lain.  

 

Berdasarkan komitmen Petronas terhadap pelan perbelanjaan modal lima tahun (2023-2027) sebanyak RM300 bilion, AmInvestment Bank Bhd menjangkakan pemulihan umum dalam industri di tengah-tengah peningkatan dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran, kerja-kerja penyelenggaraan yang tertunggak dan persekitaran bekalan kapal yang terhad.

 

Firma penyelidikan itu percaya ia akan diterjemahkan kepada pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun (2024-2026) sebanyak 17%.

 

"Ramalan tu adalah berdasarkan penambahan buku pesanan sebanyak RM3.5 bilion menjelang 4QFY24 dengan kontrak lanjutan, kadar piagam harian (DCR) bagi setahun penuh sebanyak RM90,000 untuk kapal penginapan berenjin (AWB) dan RM50,000 untuk kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) dan adar penggunaan kapal antara 60% hingga 65%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, sehingga 31 Mac 2024, kumpulan itu mempunyai buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.7 bilion yang diterjemahkan kepada pendapatan 1.3x FY24 yang selesa kerana tender kumpulan yang kukuh akan mengekalkan prospek pertumbuhannya.

 

Katanya, ia disokong oleh kumpulan penyedia perkhidmatan yang terhad dengan keupayaan teknikal dan kewangan yang mencukupi manakala institusi kewangan tetap berhati-hati dalam memberi pinjaman kepada sektor itu terhadap dasar pelepasan karbon sifar kerajaan.

 

"Kami memulakan liputan terhadap Dayang dengan saran 'beli' dengan harga wajar (FV) RM3.80 sesaham," katanya.- DagangNews.com