Dayang Enterprise berdepan keuntungan lebih lemah tahun ini - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise berdepan keuntungan lebih lemah tahun ini - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Penyedia perkhidmatan bersepadu bagi industri minyak dan gas, Dayang Enterprise Holdings Berhad (DEHB) dijangka mencatatkan keuntungan yang lebih lemah pada tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding FY20. 

 

Penganalisis di Kenanga Research, Steven Chan membuat jangkaan tersebut walaupun mengunjurkan DEHB akan terus mencatatkan pemulihan dari segi perbandingan suku tahun.

 

“Tahun ini, kumpulan terjejas teruk akibat tidak mampu memenuhi pesanan kerja kerana sekatan pergerakan yang lebih ketat. 

 

“Namun, sempadan yang akan dibuka secara beransur-ansur, kami berharap FY22 akan menjadi tahun pemulihan (buat kumpulan) - dipacu oleh baki pesanan buku bernilai RM2.3 bilion,” jelas Chan dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21), kumpulan mencatatkan kerugian bersih utama sebanyak RM28.5 juta, dilihat lebih lemah daripada unjuran keuntungan sepanjang tahun Kenanga pada kadar RM87.6 juta.

 

Prestasi lemah itu terutamanya disebabkan oleh sumbangan perkhidmatan penyelenggaraan belah atas lepas pantai (TMS) yang lebih rendah daripada jangkaan ditambah perbelanjaan operasi lebih tinggi kerana pandemik COVID-19. 

 

Namun, dari segi perbandingan suku tahun, DEHB kembali mencatatkan keuntungan bernilai RM5.9 juta pada suku kedua FY21 (2QFY21) berbanding kerugian utama RM34.5 juta pada 1QFY21.

 

Tambah Chan, firmanya mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham DEHB walaupun harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.80 sebelum ini. 

 

Dalam masa sama, Kenanga turut menyemak turun unjuran perolehan pada FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak 43% dan 47% bagi mengambil kira prestasi TMS lebih rendah. 

 

“Penarafan ‘outperform’ itu berdasarkan sahamnya yang dijangka pulih, melibatkan ‘tema’ pembukaan semula ekonomi ketika sekatan pergerakan hampir berakhir,” tambah Chan. - DagangNews.com