Deepavali dorong lonjakan permintaan minyak sawit, ramal CGS-CIMB  | DagangNews Skip to main content

Deepavali dorong lonjakan permintaan minyak sawit, ramal CGS-CIMB 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Stok minyak sawit dijangka kekal mendatar pada penghujung Oktober 2020 pada jumlah 1.73 juta tan.

Ini disusuli jangkaan penurunan pengeluaran 1% dan 3% bagi peningkatan eksport, berbanding bulan lalu. 

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research menjangkakan permintaan minyak sawit untuk makanan bertambah baik menjelang perayaan Deepavali pada November hadapan.

Permintaan itu melibatkan sektor dari hotel, restoran dan kafe (HORECA).

“Bagaimanapun, peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) memberi impak buruk ke atas daya maju ekonomi biodiesel selain mempengaruhi pemenuhan B30 di Indonesia,” jelas CGS-CIMB. 

Dalam masa sama, pekebun kelapa sawit pula dijangka mampu menyaksikan keuntungan bersih lebih tinggi pada suku ketiga 2020 (3Q20) didorong oleh peningkatan harga purata MSM kepada RM2,753 setiap tan. 

“Kami juga menjangkakan keuntungan bersih 3Q20 adalah lebih baik berbanding suku kedua, didorong oleh peningkatan output sebanyak 6.6% dan 21% peningkatann harga MSM berbanding suku sebelumnya,” tambah CGS-CIMB.

Baca : Harga minyak sawit mentah Oktober diunjur RM2,400-RM2,800 satu tan

Sebelum ini, harga MSM pada bulan ini diunjurkan mencecah RM2,400 hingga RM2,800 bagi satu tan, menurut CGS-CIMB.

Bagaimanapun, nota kajian bertarikh 12 Oktober 2020 oleh CGS-CIMB meningkatkan kadar harga MSM yang mencecah RM2,500 hingga RM3,000 setiap tan bagi bulan ini.

Namun, ia bergantung kepada impak La Nina ke atas bekalan minyak sawit, pembelian dari China untuk menambah stok, dan dasar ke atas mandat biodiesel. - DagangNews.com