Di sebalik komitmen terhadap peralihan tenaga, TNB masih berusaha menangani kebimbangan ESG  | DagangNews Skip to main content

Di sebalik komitmen terhadap peralihan tenaga, TNB masih berusaha menangani kebimbangan ESG 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Okt - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dilihat komited untuk mengurangkan kapasiti jana kuasa arang batu sebanyak 46% menjelang 2030 bagi mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 8,300 MW pada 2025. 

 

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berkata, dua loji jana kuasa arang batu, KEV Coal U3-U6 dan TNB Janamanjung masing-masing akan menamatkan operasi pada 2029 dan 2030.

 

Katanya, perjanjian pembelian tenaga (PPA) Jimah East Power (JEP) yang dimiliki 70% TNB telah ditauliahkan pada 2019, akan tamat tempoh menjelang 2044 dan selepas itu tidak akan ada lagi loji arang batu.

 

"Secara dasarnya kami positif dengan pelan pengembangannya dalam RE dan komitmen untuk bebas arang batu menjelang 2045.

 

"Selain itu, kumpulan juga berusaha menangani kebimbangan mengenai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang telah mempengaruhi harga sahamnya sejak dua hingga tiga tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

JEP ialah loji arang batu baharu TNB yang terakhir kerana kumpulan mahu menghentikan pelaburan dalam loji arang batu greenfield sejajar dengan komitmennya untuk mengurangkan kapasiti berasaskan arang batu sebanyak 50% pada 2035 dan bebas arang batu menjelang 2045.

 

Ia akan memperkasakan semula loji arang batu yang telah bersara menggunakan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang sangat cekap dengan bahan api yang lebih bersih, seperti gas dan teknologi sedia hidrogen (teknologi hijau) untuk membantunya merealisasikan komitmen sifar bersihnya menjelang 2050.

 

Bagi mempercepatkan peralihan tenaganya, TNB berazam untuk melabur kira-kira RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang dengan menekankan komitmen teguhnya terhadap sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Setakat Julai 2022, ia telah memasang kapasiti RE sebanyak 3,794 MW terdiri daripada 2,801MW di Malaysia dan 993 MW di luar negara. Ia merangkumi 16% daripada portfolio TNB.

 

Walaupun jumlah itu kecil, tetapi TNB mahu meningkatkan peralihan kepada RE dengan ketara apabila kos menurun dengan cepat. 

 

Di peringkat antarabangsa, kumpulan mempunyai aset RE di United Kingdom, dan ia menyasarkan untuk mengembangkan aset RE ke Asia Tenggara (Thailand, Filipina dan Vietnam), Kesatuan Eropah (Sepanyol, Perancis dan Ireland) dan Asia Pasifik (Korea Selatan, Taiwan dan Australia ).

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap TNB dengan harga sasaran pada RM10.71 sesaham. 

 

"Kami juga optimis terhadap daya tahan pendapatannya kerana kekurangan pemulihan kos bahan api yang semakin meningkat akhirnya akan dipulihkan di bawah rangka kerja Pengawalseliaan Asas Insentif (IRB) yang ketinggalan enam bulan," katanya.

 

Namun, menurutnya, risiko kepada penarafan TNG bergantung kepada faktor terutamanya kos bahan api yang kurang pulih membebankan aliran tunainya, kemelesetan global yang menjejaskan tenaga elektrik dan ketidakpatuhan piawaian ESG yang ditetapkan oleh pelbagai pihak berkepentingan.

 

Setakat 10.16 pagi, harga sahamnya susut 12 sen atau 1.48% kepada RM8 dengan 742,900 saham diniagakan. - DagangNews.com