Di sebalik lonjakan keuntungan tinggi, penganalisis turunkan harga sasaran Nestle | DagangNews Skip to main content

Di sebalik lonjakan keuntungan tinggi, penganalisis turunkan harga sasaran Nestle

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Walaupun berjaya mencatatkan lonjakan keuntungan 27% sehingga mengungguli kaunter paling untung pagi ini, namun firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menurunkan harga sasaran (TP) saham Nestle (Malaysia) Berhad kepada RM135.40 daripada RM136.70. 

 

Penganalisisnya, Walter Aw dalam masa sama mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Nestle ekoran penilaian semasa kumpulan dijangka disokong oleh sifat perniagaannya yang bertahan, jenama global dan inovasi produk yang kukuh.

 

“Kami menurunkan perolehan sesaham (EPS) pada tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 yang mengambil kira harga komoditi lebih tinggi dan jualan hotel, restoran dan kafe (HORECA) yang lebih rendah. 

 

“Sehubungan itu, TP kami yang berdasarkan DCF diturunkan kepada RM135.40,” kata Aw dalam satu nota kajian. 

 

Syarikat makanan dan minuman (F&B) itu menyaksikan keuntungan bersih kumpulan pada suku kedua tahun FY21 (2QFY21) melonjak 27.5% kepada RM134.53 juta daripada RM105.53 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama, tahun lalu.

 

Baca : Untung bersih Q2 Nestle melonjak 27.5% dipacu jualan domestik

 

Menurut Aw lagi, perbelanjaan modal (capex) Nestle pada tahun kewangan semasa juga adalah yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun. 

 

Sebagai rekod, Nestle dilaporkan memperuntuk jumlah capex RM300 juta untuk FY21, di mana sebahagian besarnya akan digunakan untuk mengembangkan kilangnya di Batu Tiga yang menghasilkan produk jenama Maggi. 

 

Dalam pada itu, MIDF Research juga tidak membuat sebarang perubahan ke atas unjuran perolehan mereka. 

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham Nestle dengan TP tidak berubah pada kadar RM141.50 sesaham. 

 

“TP kami adalah berdasarkan penilaian DDM dengan kadar pertumbuhan mampan tidak berubah pada 2.4% dan kos ekuiti, 4.7%.

 

“Kami percaya permintaan untuk produk Nestle akan kekal kukuh, tetapi masih berhati-hati terhadap potensi margin keuntungan yang terhad susulan kos input lebih tinggi dalam masa terdekat ini.

 

“Kami kekal ‘neutral’ terhadap sahamnya kerana lonjakan modal yang terhad dan kurang pemangkin,” jelas penganalisisnya, Ng Bei Shan. - DagangNews.com