Di sebalik sentimen negatif VS Industry, Public Investment kekal pandangan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

Di sebalik sentimen negatif VS Industry, Public Investment kekal pandangan 'outperform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Mac - Public Investment Bank Research mengulangi pandangan 'outperform' terhadap VS Industry Bhd. di sebalik sentimen negatif yang membelenggu syarikat penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) ini. 

 

Semalam, media melaporkan pakar hak asasi migran, Anday Hall telah menarik balik penglibatan sukarelanya dengan VS Industry berkuat kuasa serta-merta hampir 3 bulan selepas mereka bekerjasama.

 

Aktivis itu mengaitkan penarikan dirinya disebabkan kegagalan VS Industry untuk memenuhi komitmennya sebelum ini yang dibuat secara terbuka kepada Bursa Malaysia dan 'terutamanya dengan memilih juruaudit secara unilateral untuk menjalankan audit pematuhan sosial pihak ketiga yang bebas (mengenai situasi pekerja yang tidak teratur) tanpa berunding dengannya.

 

Dalam nota kajian hari ini, Public Investment berkata, situasi tersebut menyebabkan harga sahamnya meruncing dengan sentimen pelabur semakin goyah.

 

"Pada masa sama, kami melihat kelemahan harga saham yang ketara sebagai masa yang sesuai untuk mengumpul," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, kedua-dua pihak mempunyai merit untuk hujah mereka - satu yang nampaknya berdasarkan janji yang dimungkiri, dan satu lagi berdasarkan keperluan untuk mendapatkan 'rang undang-undang kesihatan yang bersih', justeru, ia melakukan apa sahaja yang dianggap perlu demi kebaikannya sendiri.

 

"Kebimbangan tersebut amat luas memandangkan terdapat pemain industri telah memutuskan hubungan pelanggan utamanya (walaupun dengan tempoh penangguhan 6 bulan) dan menyebabkan kejatuhan ketara dalam pendapatan (dan mengakibatkan permodalan pasaran) walaupun sentiasa meyakinkan bahawa 'semuanya baik-baik saja, dan terkawal'.

 

"Kami menjangkakan pengurusan VS Industry boleh belajar sesuatu daripada pengalaman ini dan mengambil langkah perlu bagi memastikan ia tidak terdedah kepada kemungkinan ini," jelasnya. 

 

Firma itu memberitahu, pihak pengurusan menangani kebimbangan itu melalui sesi persidangan maya semalam, dengan penjelasan terperinci tentang apa yang telah berlaku, walaupun turut mengulas bahawa mereka kekal dengan syarat Andy Hall.

 

"Namun, perkara yang lebih penting kepada kami ialah pelanggan utama kumpulan kekal terlibat dalam perkara ini, yang mana pengurusan telah mengesahkan bahawa mereka adalah dan ini kekal sebagai bukan isu," katanya.

 

Menurutnya, walaupun kumpulan berdepan sentimen negatif, tetapi ia masih menyukai pelan pertumbuhan jangka panjang VS Industry dan atas sebab itu mengulangi pandangan 'outperform'.

 

"Tetapi, kami mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM1.40 daripada RM1.86 sebelum ini, kerana kami mengurangkan gandaan kepada 15x (20x sebelum ini) sejajar dengan purata jangka panjang yang juga mencerminkan risiko premium lebih tinggi. 

 

"Ini juga disokong dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 3 tahun sebanyak 15%," tambahnya.

 

Setakat 10.25 pagi ini, harga sahamnya menokok 2.5 sen atau 2.6% kepada 98.5 sen dengan 17.6 juta saham diniagakan. -DagangNews.com